Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Model Pengajian Tahfiz Malaysia Sedang Dibangunkan - Mohd Na'im

29/10/2025 06:12 PM

KUALA LUMPUR, 29 Okt (Bernama) -- Kerangka Model Pengajian Tahfiz Malaysia (MPTM) sedang dibangunkan, untuk memberi panduan dan menyelaras sistem pengajian tahfiz di Malaysia, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar.

Beliau berkata MPTM mengandungi empat model pendidikan iaitu Tahfiz Akademik, Tahfiz Turath, Tahfiz Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), dan Intervensi Tahfiz.

“Keempat-empat model ini sedang dalam kerangka pembangunan dan dijangka siap tidak lama lagi. Model ini akan diselaraskan pemakaiannya ke negeri-negeri untuk dilaksanakan di maahad tahfiz yang berdaftar.

Ad Banner

“Ia merupakan model yang boleh dijadikan panduan bagi menentukan hala tuju maahad tahfiz pada masa akan datang,” katanya menjawab soalan Datuk Ahmad Saad @ Yahaya (PN-Pokok Sena) mengenai masa depan para Huffaz negara, pada sesi Kamar Khas di Dewan Rakyat hari ini.

Mohd Na'im berkata satu bengkel membincangkan kerangka model itu telah dilaksanakan pada 16 Mei lepas, yang disertai pelbagai agensi termasuk Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), wakil universiti dan maahad tahfiz.

Beliau berkata sebelum ini, kerajaan telah memperkenalkan Dasar Pendidikan Tahfiz Negara (DPTN), yang dirangka bagi memberi nilai tambah dan suatu bentuk peneguhan terhadap dasar sedia ada untuk memenuhi keperluan semasa, termasuk menangani isu kebolehpasaran lepasan pelajar tahfiz.

Mohd Na'im berkata dua teras dalam DPTN menjadi asas pembangunan MPTM iaitu mewujudkan model institusi tahfiz dan mewujudkan kurikulum pendidikan tahfiz yang sesuai dengan pendidikan arus perdana.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan