Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Ramos-Horta Seorang Pemimpin Dunia Berprinsip Dan Berani – PM Anwar

29/10/2025 12:09 AM

PETALING JAYA, 28 Okt (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memuji Presiden Timor-Leste José Ramos-Horta sebagai seorang negarawan yang memiliki pegangan moral yang jelas dan keberanian luar biasa, dengan kepimpinannya terus memberi inspirasi kepada rantau ini.

“Apa yang kurang dalam dunia ini ialah suara hati nurani... pegangan moral yang jelas. Dan negara ini, lelaki ini, Ramos-Horta, memiliki apa yang kurang di dunia ini,” katanya pada majlis makan malam amal anjuran Ramos-Horta bertajuk “Timor-Leste: Building a Shared Future with ASEAN” di sini malam ini.

Turut hadir Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil, Pengasas dan Pengerusi Kumpulan Sunway Tan Sri Dr Jeffrey Cheah, serta Pengasas dan Pengerusi Berjaya Corp Tan Sri Vincent Tan.

Ad Banner

Anwar berkata Ramos-Horta melambangkan ketabahan, keberanian dan berkeyakinan teguh - nilai-nilai yang menjadikan beliau suara hati nurani yang jarang ditemukan dalam politik dunia masa kini.

Perdana Menteri turut menegaskan sokongan berprinsip Malaysia terhadap kemasukan penuh Timor-Leste ke dalam ASEAN, sambil menyifatkannya sebagai antara keutamaan utama beliau selaku Pengerusi ASEAN.

“Saya mahu anda berjaya kerana saya mahukan sahabat yang mempunyai pegangan moral yang jelas dan dasar berlandaskan moral,” kata Anwar 

“Sebaik sahaja saya mengambil alih kepengerusian, saya beritahu pasukan, Kementerian Luar dan Kabinet bahawa sebelum kita menyerahkan tampuk kepengerusian, Timor-Leste mesti menjadi anggota penuh ASEAN,” katanya.

Anwar mengakui bahawa proses itu agak rumit, namun Malaysia tetap bertekad membantu dan terus berdiri bersama Timor-Leste dalam perjalanannya membina negara dan pengintegrasian serantau.  

“Saya beritahu rakan-rakan saya, bantu mereka, sumbanglah... dan kita telah berbuat demikian. Kita menyalurkan dana melalui Sekretariat ASEAN di Jakarta. Kita menghantar pegawai. Itulah makna persahabatan. Itulah makna kemanusiaan,” katanya.

Anwar turut menggesa syarikat Malaysia supaya melabur di Timor-Leste dengan bertanggungjawab, sambil  menekankan bahawa kerjasama ekonomi perlu dibimbing dengan keadilan dan pertumbuhan bersama.

“Apabila pelabur kita ke sana, mereka tidak seharusnya berkelakuan seperti bekas penjajah. Sudah tentu mereka mencari keuntungan – itu perkara biasa. Tetapi mesti ada juga pemindahan teknologi, latihan untuk anak muda, dan sumbangan kepada komuniti,” katanya.

Ramos-Horta pada majlis itu menyifatkan Anwar sebagai mentornya dan berterima kasih kepada Malaysia atas sokongan tidak berbelah bahagi sepanjang perjuangan kemerdekaan Timor-Leste dan usahanya menyertai ASEAN.

Beliau berkata keyakinan Malaysia terhadap masa depan Timor-Leste sebagai sebahagian daripada Asia Tenggara telah memberi inspirasi dan semangat dalam perjalanan panjang serta mencabar negara itu ke arah penyepaduan serantau.

Beralih kepada kerjasama ekonomi, Ramos-Horta berkata Timor-Leste kini “secara rasmi dibuka untuk perniagaan”, sambil mengalu-alukan pelabur Malaysia meneroka peluang dalam sektor utama seperti minyak dan gas, pertanian, kopi dan pelancongan.

Majlis makan malam itu diadakan bagi memperingati kemasukan rasmi Timor-Leste ke dalam ASEAN dan mengutip dana untuk “Timor-Leste Foundation for Children’s Future”, sebuah inisiatif yang diterajui Ramos-Horta.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan