Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

MOT, MIROS Teliti Kaedah Baharu Kesan Penggunaan Tayar Celup Tidak Sah

28/10/2025 10:10 PM

KUALA LUMPUR, 28 Okt (Bernama) -- Kementerian Pengangkutan (MOT) sedang meneliti pelaksanaan kaedah baharu bagi mengesan penggunaan tayar celup tidak sah di pasaran, termasuk pengenalan bukti fizikal melalui cop keselamatan atau penggunaan teknologi seperti kod respons pantas (QR) dan Identifikasi Frekuensi Radio (RFID).

Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah berkata langkah itu, yang dilaksanakan dengan kerjasama Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) bertujuan memastikan hanya tayar celup yang mematuhi piawaian keselamatan mandatori dibenar untuk digunakan oleh kenderaan berat di jalan raya.

Beliau berkata berdasarkan kajian yang dijalankan oleh MIROS, tiga faktor utama kemalangan jalan raya di Malaysia telah dikenal pasti iaitu faktor kelalaian dan sikap pengguna jalan raya sebanyak 80.6 peratus, keadaan ataupun kondisi jalan raya (13.2 peratus) dan keadaan kenderaan (6.2 peratus).

Ad Banner

“Tidak dapat dinafikan terdapat trend peningkatan kemalangan jalan raya yang melibatkan kenderaan berat akibat kegagalan tayar atau sistem pacuannya. Keadaan ini turut menyumbang kepada isu lambakan serpihan tayar pelbagai saiz di atas jalan raya yang boleh mengundang risiko kemalangan kepada pengguna lain.

“Bagaimanapun, hasil penelitian mendapati hanya sebahagian kecil daripada insiden itu berpunca daripada kegagalan tayar celup, manakala selebihnya berpunca daripada tayar baharu jenis pneumatik serta kegagalan sistem mekanikal kenderaan berat itu sendiri,” katanya pada sesi Kamar Khas di Dewan Rakyat hari ini.

Hasbi menjawab soalan Jimmy Puah Wee Tse (PH-Tebrau) yang ingin mengetahui langkah konkrit kerajaan untuk mengurangkan kemalangan berpunca daripada tayar celup susulan kemalangan maut melibatkan lori kebelakangan ini.

Beliau berkata perbincangan mengenai tahap keselamatan tayar celup perlu dilihat dalam konteks lebih menyeluruh, merangkumi aspek pengeluaran, pengimportan, penjualan, penggunaan, penyelenggaraan dan penguatkuasaan yang turut melibatkan bidang kuasa pelbagai agensi serta kementerian.

Dalam usaha memperkukuh kawal selia terhadap penggunaan tayar baharu dan tayar celup, Hasbi berkata MOT telah melaksanakan lima pendekatan utama termasuk mewartakan peraturan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN) dan piawaian Malaysia (MS) dalam kaedah kenderaan motor, menguatkuasakan pemeriksaan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) serta kawalan pengimportan tayar bersama Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

MOT turut menggalakkan syarikat pengangkutan mewujudkan prosedur operasi standard (SOP) pemeriksaan tayar sebelum perjalanan bagi memastikan keadaan fizikal dan keselamatan tayar berada dalam keadaan optimum, selain meneruskan program advokasi awam dan pesanan khidmat masyarakat mengenai penjagaan tayar.

“MOT komited memastikan setiap tayar sama ada baharu atau celup yang digunakan di Malaysia mematuhi piawaian keselamatan dan kualiti yang ditetapkan.

“Pendekatan bersepadu yang melibatkan perundangan, penguatkuasaan, kawalan import, penandaan produk dan pendidikan pengguna akan terus diperkukuh bagi menjamin keselamatan pengguna jalan raya dan mengurangkan risiko kemalangan akibat kegagalan tayar di negara kita,” kata Hasbi.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan