Oleh Muhammad Saufee Rosman
KUALA LUMPUR, 28 Okt (Bernama) -- Malaysia membuktikan keupayaan sebagai peneraju serantau apabila penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan berlangsung dengan lancar, tersusun dan berimpak, sekali gus menyerlahkan kepimpinan negara sebagai Pengerusi ASEAN 2025 yang berwibawa, menurut penganalisis politik dan dasar.
Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Negeri Sembilan, Dr Muhamad Fuad Abdul Karim berkata Malaysia membawa mesej yang konsisten dan berpaksikan prinsip neutraliti serantau, selaras tema Kepengerusian ASEAN 2025 "Keterangkuman dan Kemampanan".
“Malaysia bukan sahaja menumpukan kepada pembangunan negara sendiri, tetapi turut membantu memacu kemajuan negara ASEAN lain,” katanya semasa menjadi tetamu program Apa Khabar Malaysia bertajuk “ASEAN 2025: Berakhirnya Tugas Malaysia” terbitan Bernama TV, hari ini.
Beliau berkata antara kejayaan utama Malaysia di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Pengerusi ASEAN 2025 adalah merealisasikan Perjanjian Damai KL antara Thailand dan Kemboja, selain mempercepatkan proses kemasukan Timor-Leste sebagai anggota ASEAN ke-11.
Namun katanya, cabaran seterusnya bagi ASEAN adalah memastikan setiap perkara yang dicapai atau dipersetujui pada sidang kemuncak kali ini dilaksanakan secara konsensus, khususnya dalam menjalin kerjasama ekonomi dan teknologi bagi memajukan seluruh rantau ini.
Mengulas kehadiran Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump, Muhamad Fuad berkata lawatan itu memberi kesan positif terhadap imej Malaysia serta ASEAN di mata dunia.
“Trump ini ibarat ‘pempengaruh’ untuk ASEAN. Beliau memberi reaksi positif terhadap sambutan yang diberikan Malaysia semasa lawatannya baru-baru ini dan ia sekali gus menunjukkan Malaysia dan ASEAN sesuai dijadikan destinasi pelancongan yang penuh dengan kebudayaan,” katanya.
Sementara itu, Profesor di Institute of Graduate Studies (IGS), Universiti Poly-Tech Malaysia, Prof Dr Farha Abdol Ghapar menyifatkan Malaysia sebagai tuan rumah telah menunjukkan kecekapan penganjuran meskipun berdepan persepsi terutama berkaitan kehadiran Trump.
“Saya kagum kerana semuanya berjalan lancar walaupun banyak kata-kata negatif, terutama terhadap kehadiran Presiden Donald Trump, tetapi Perdana Menteri mampu mengendali keadaan dengan tenang...jadi bagi saya ia dilihat berjaya,” katanya.
Bagi Felo Penyelidik Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr Muhamad Azwan Abd Rahman lawatan Trump turut membuka lembaran baharu hubungan dua hala terutamanya melalui perjanjian perdagangan timbal balas yang memberi manfaat bersama.
Beliau berkata ini adalah hasil diplomasi lembut perdana menteri sehingga berjaya merapatkan AS dengan ASEAN.
Malaysia tidak menang semua tetapi juga tidak rugi teruk. Kita mendapat akses pasaran ke Amerika Syarikat, antaranya dalam sektor semikonduktor yang dipermudahkan laluannya, selain lebih 1,700 produk menikmati kadar tarif lebih rendah daripada 19 peratus.
Menurut beliau pelbagai deklarasi dan perjanjian yang ditandatangani juga memberi kesan positif kepada anggota baharu ASEAN seperti Timor-Leste, sekali gus memperkukuh dimensi perdagangan serantau yang lebih pragmatik.
Dalam pada itu, Pengerusi Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Malaysia, Datuk Prof Dr Mohd Faiz Abdullah pula menyifatkan penganjuran edisi kali ini sebagai kejayaan besar dalam pelbagai sudut.
‘Kejayaan yang dicapai negara bukan hanya dari segi berkaitan logistik, tetapi lebih penting adalah hasilnya termasuk perjanjian perdagangan dengan Amerika Syarikat serta kemajuan dalam usaha menyelesaikan konflik sempadan Thailand-Kemboja,” katanya dalam temu bual eksklusif dengan Bernama.
Beliau menambah pencapaian itu memperkukuh suara ASEAN untuk muncul sebagai blok yang lebih dominan di pentas antarabangsa, disokong oleh kedudukannya sebagai ekonomi keempat terbesar dunia.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial