Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Timor-Leste Bakal Jadi Rakan Kongsi Ikhlas, Berkesan Dan Berfungsi Dalam ASEAN - PM Anwar

27/10/2025 06:56 PM

Oleh Linda Khoo

KUALA LUMPUR, 27 Okt (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan kepada Timor-Leste mengenai sokongan padu ASEAN apabila negara itu memulakan langkahnya sebagai anggota baharu blok serantau tersebut sambil menekankan bahawa anggota ke-11 itu akan menjadi rakan kongsi yang ikhlas, berkesan dan berfungsi.

Beliau turut menzahirkan penghargaan Malaysia dan ASEAN kepada Timor-Leste atas kesediaan negara itu untuk memenuhi serta menerima semua syarat yang ditetapkan dalam proses penyertaan ke dalam blok serantau tersebut.

Ad Banner

"Meskipun pada awalnya ia mungkin sukar namun anda telah melakukannya dengan baik. Oleh itu, izinkan saya, bagi pihak Malaysia dan semua rakan untuk merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan.

"Kami, fraterniti  Komuniti ASEAN, bersyukur dan gembira dengan penyertaan Timor-Leste sebagai anggota ke-11 dalam Komuniti ASEAN yang hebat ini.

“Kami memahami segala cabaran yang anda tempuhi, begitu juga dengan harapan dan aspirasi anda… oleh itu, marilah kita bersama-sama membina ASEAN ini," katanya pada majlis resepsi sempena penyertaan Timor-Leste ke dalam ASEAN hari ini.

Turut hadir Presiden Timor-Leste Jose Ramos-Horta dan Perdana Menteri Kay Rala Xanana Gusmao.

Sementara itu, Gusmao dalam ucapannya berkata penandatanganan Deklarasi Penyertaan Timor-Leste ke dalam ASEAN merupakan detik yang akan sentiasa dikenang dan terpahat dalam lipatan sejarah negara berkenaan.

"Bagi pihak kerajaan dan rakyat Timor-Leste, saya sekali lagi ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada kerajaan dan rakyat Malaysia serta semua negara anggota ASEAN atas kesediaan menerima kami ke dalam keluarga besar ini, dan kepada semua tetamu terhormat yang hadir menyertai sambutan istimewa ini," katanya.

"Di Timor-Leste, kami percaya bahawa persahabatan sejati paling indah dikongsi melalui warisan budaya kami, melalui muzik, tarian serta kisah tanah air dan rakyat kami," katanya.

Semasa resepsi tengah hari itu, para tetamu berpeluang menyaksikan keindahan dan semangat Timor-Leste melalui persembahan tradisional serta tayangan video yang menonjolkan kekayaan budaya dan daya tarikan negara tersebut.

Sementara itu, menerusi hantaran di laman Facebook, Perdana Menteri berkata Malaysia berasa gembira dan bangga kerana menyumbang kepada kemasukan Timor-Leste sebagai anggota ke-11 ASEAN.

“Malaysia memahami serta menggarap sejarah panjang serta deritanya (Timor-Leste) di masa lalu, lantas kita memanfaatkan peranan sebagai Pengerusi ASEAN 2025 dengan menempa lembaran baharu diplomasi dan sejarah ASEAN yang tentunya akan menjamin masa depan yang lebih meyakinkan buat Timor-Leste dan ASEAN seluruhnya,” katanya.

Atas nama keluarga majmuk ASEAN, Anwar menegaskan bahawa blok itu akan berdiri bersama atas semangat kasih sayang dan saling mendukung, saling hormat dan bergerak sederap ke hadapan.

“Ini akan memberi keyakinan bahawa Timor-Leste akan menjadi anggota yang menyumbang kepada kekuatan, suara dan perspektif yang akan memperkaya kepelbagaian serta memperkukuh perpaduan ASEAN, selain menjamin kestabilan dan kemakmuran buat warga Timor-Leste seluruhnya,” katanya.

Timor-Leste, yang mencapai kemerdekaan pada 2002, secara rasmi diterima sebagai anggota ke-11 ASEAN semalam selepas para pemimpin blok serantau itu menandatangani Deklarasi Penyertaan Timor-Leste ke dalam ASEAN semasa majlis perasmian Sidang Kemuncak ASEAN ke47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan.

Negara itu bergantung kepada hasil minyak dan gas manakala sektor pertanian dan perkhidmatan secara beransur-ansur meningkatkan sumbangan mereka kepada pendapatan negara.

Timor-Leste mencatat Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak USD1.99 bilion pada 2024, mencerminkan pertumbuhan 3.4 peratus, dengan unjuran pertumbuhan dijangka meningkat kepada 3.9 peratus pada 2025 berikutan kadar inflasi yang semakin terkawal dan kestabilan fiskal yang berterusan.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan