Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Najhan Dilantik Ketua Pengarah Hidrografi Nasional Baharu

27/10/2025 06:09 PM

KLANG, 27 Okt (Bernama) -- Laksamana Muda Dr Najhan Md Said hari ini dilantik sebagai Ketua Pengarah Hidrografi Nasional yang baharu bagi menggantikan Laksamana Muda Datuk Hanafiah Hassan.

Panglima Tentera Laut Laksamana Tan Sri Dr Zulhelmy Ithnain berkata pihaknya yakin pelantikan Najhan dapat memastikan Pusat Hidrografi Nasional (PHN) terus unggul dalam bidang hidrografi, pemetaan dasar laut, keselamatan navigasi dan kerjasama maritim antarabangsa.

“Saya yakin dengan pengalaman, pengetahuan dan komitmen yang dimiliki, beliau akan dapat menggalas amanah ini dengan cemerlang serta meneruskan kecemerlangan yang dicapai PHN sebelum ini.

Ad Banner

"Ini bukan sekadar simbolik pertukaran kepimpinan, tetapi melambangkan kesinambungan dan keutuhan PHN sebagai agensi penting menyokong pertahanan serta keselamatan maritim negara," katanya ketika berucap pada Majlis Serah Terima Tugas Ketua Pengarah Hidrografi di sini hari ini.

Upacara penuh istiadat yang berlangsung di Ibu Pejabat PHN itu turut dihadiri Panglima Wilayah Laut 2 Laksamana Muda Datuk Yusne Mokhtar.

Zulhelmy berkata PHN telah lama menjadi tunjang kepada keupayaan maritim negara dan kepimpinan baharu seperti Najhan diyakini memperkukuh peranan strategik sedia ada.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Hanafiah di atas jasa dan bakti sepanjang memegang tampuk kepimpinan PHN sejak Mei 2018 sehingga mencapai pelbagai kejayaan dan kemajuan.

"Saya juga berterima kasih kepada isteri mantan Ketua Pengarah PHN iaitu Datin Nor Hayati Abdullah atas penglibatan aktif, sokongan padu dan sumbangan berterusan dalam menjayakan pelbagai inisiatif dan program Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (BAKAT) Laut," katanya.

Sejak dilantik menjadi Ketua Pengarah Hidrografi pada 31 Mei 2018, Hanafiah pernah dilantik sebagai Ketua Tim Malaysia Bagi Pasukan Bersama Pencarian MH370 di Australia dan memimpin PHN untuk memperoleh lima bintang dalam audit kesiapsiagaan 2021 dan 2023.

Hanafiah juga berjaya mengeluarkan 49 carta dan edisi baharu serta menjadi ahli delegasi Malaysia yang mendepositkan 158 titik pangkal negara yang terdiri daripada 95 titik pangkal di Semenanjung Malaysia, 16 di Sarawak diikuti 47 di Sabah kepada Bahagian Hal Ehwal Lautan dan Undang-Undang Laut (DOALOS) di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 2022.

Beliau akan menjalani latihan peralihan bermula hari ini hingga 1 Februari depan sebelum bersara secara rasmi pada 1 Mei 2026.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan