Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

PM China Seru Pertahan Keterbukaan Dan Kerjasama Demi Kejayaan Asia Timur

27/10/2025 03:51 PM

Oleh Wong Cheng Hau

KUALA LUMPUR, 27 Okt (Bernama) -- China bersedia memperkukuh penyelarasan strategi pembangunan dengan semua pihak serta mengekalkan keterbukaan dan kerjasama bagi  bersama-sama mencipta lembaran pembangunan dan kejayaan baharu di rantau Asia Timur.

Perdana Menteri China Li Qiang berkata komitmen berterusan Asia Timur terhadap keterbukaan dan kerjasama telah membolehkan negara di rantau ini mengatasi perbezaan sistem sosial, mencapai kesalinglengkapan melalui kolaborasi, serta mengelak isu ekonomi daripada dipolitikkan atau dijadikan isu keselamatan.

Ad Banner

Berucap pada Sidang Kemuncak ASEAN Campur 3 (APT) ke-28 hari ini, beliau berkata walaupun negara-negara Asia Timur kini berada pada peringkat pembangunan yang berbeza berbanding dahulu, meneliti dan mempelajari sejarah boleh memberikan panduan serta inspirasi berharga untuk masa depan.

“Selama beberapa dekad, kerana kita mengekalkan keterbukaan dan kerjasama, kita dapat mengatasi perbezaan sistem sosial, memanfaatkan kekuatan serta corak ekonomi masing-masing, dan mencapai pelengkapan bersama antara negara.

“Keterbukaan dan kerjasama juga membolehkan kita mengelak isu ekonomi daripada dipolitikkan atau dijadikan isu keselamatan. Sebaliknya, kita mengurus dan menyelesaikan perbezaan melalui komunikasi, dialog dan penyelarasan, sekali gus meminimumkan gangguan terhadap pembangunan ekonomi,” kata Li yang berucap dalam bahasa Mandarin.

Sidang Kemuncak ASEAN+3 yang diadakan di luar Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan dipengerusikan bersama oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Li, Menteri Luar Jepun Motegi Toshimitsu, dan Presiden Korea Selatan Lee Jae-myung.

Perdana Menteri China itu menegaskan bahawa keterbukaan dan kerjasama turut memacu kemajuan berterusan dalam kesalinghubungan serantau, merancakkan lagi dinamik pasaran dan mewujudkan peluang pembangunan bersama.

“Keterbukaan dan kerjasama adalah pengalaman berharga yang diperoleh melalui amalan dan penerokaan selama bertahun-tahun. Kita harus menghargainya, kekal teguh terhadap komitmen ini, dan memastikan keterbukaan serta kerjasama terus berfungsi sebagai kekuatan utama menentukan ekonomi Asia Timur,” katanya.

Beliau turut menekankan bahawa sepanjang tahun lalu, kerjasama ASEAN dengan China, Jepun dan Korea Selatan terus menunjukkan momentum positif, mencerminkan daya tahan dan kecekapan ekonomi Asia Timur.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan