Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Brazil Sokong Hasrat Malaysia Jadi Anggota Penuh BRICS – Lula

27/10/2025 03:43 PM

Oleh Samantha Tan

KUALA LUMPUR, 27 Okt (Bernama) -- Presiden Brazil Luiz Inácio Lula da Silva menyatakan sokongan kuat terhadap hasrat Malaysia untuk menjadi anggota penuh blok BRICS.

Beliau turut menyifatkan Malaysia sebagai rakan serasi yang berkongsi nilai serta memiliki potensi ekonomi yang semakin berkembang.

Ad Banner

“Saya telah belajar sepanjang hidup bahawa perkara paling penting ialah tindakan yang berkesan. Soalan utama yang anda ajukan ialah sama ada saya mahu Malaysia menjadi anggota penuh BRICS.

“Malaysia akan mendapat sokongan Brazil untuk menjadi anggota penuh BRICS,” katanya pada sidang media sempena lawatan sulungnya ke Malaysia bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di sini, pada Isnin.

Pada 24 Okt 2024, Malaysia telah diiktiraf sebagai satu daripada 13 negara yang secara rasmi dimasukkan sebagai negara rakan kepada BRICS - blok ekonomi yang merangkumi satu perlima daripada perdagangan global. BRICS merujuk kepada kumpulan ekonomi sedang pesat membangun yang pada asalnya terdiri daripada Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan.

Pemimpin Brazil itu, yang menyambut ulang tahun kelahirannya ke-80 semasa lawatan berkenaan, turut menzahirkan rasa kagum terhadap sambutan mesra rakyat Malaysia.

Beliau memuji kemesraan dan keterbukaan rakyat Malaysia serta kepimpinan negara di bawah Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, kerajaan dan komuniti perniagaan tempatan.

“Saya mesti katakan bahawa saya meninggalkan Malaysia dengan tanggapan yang paling positif. Pertama sekali, kemesraan dan keramahan rakyat Malaysia. Di mana-mana sahaja saya pergi, terasa seperti saya sudah mengenali setiap orang. Sentiasa ada yang tersenyum, sentiasa ada yang baik hati. Ia benar-benar mengingatkan saya kepada rakyat Brazil.

“Saya juga tidak sabar menantikan majlis makan malam gala malam ini. Malah, saya akan memakai baju yang dihadiahkan oleh kerajaan (Malaysia) supaya saya dapat menyesuaikan diri  dan menikmatinya seperti semua orang lain!” katanya.

Lula turut menyeru pemimpin kerajaan dan sektor korporat Brazil agar lebih berani dalam meneroka peluang perdagangan serta pelaburan bersama Malaysia dan pasaran sedang membangun lain.

Beliau berkata perdagangan antara Brazil dan Malaysia serta Indonesia kini berjumlah kira-kira US$12 bilion, angka yang disifatkannya masih kecil berbanding kekuatan dan potensi ekonomi negara-negara berkenaan.

“Terdapat kekurangan keberanian dalam kalangan usahawan dan menteri kami. Daripada hanya duduk di dalam negara, mereka perlu mengembara ke seluruh dunia untuk memasarkan apa yang dihasilkan oleh Brazil dan apa yang mampu ditawarkan negara kami,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan