Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Tujuh Projek Baharu Lebih RM400 Juta Atasi Risiko Banjir Di Terengganu

26/10/2025 03:12 PM

KUALA TERENGGANU, 26 Okt (Bernama) -- Tujuh projek baharu bernilai RM410.37 juta diluluskan bagi mengatasi risiko banjir di Terengganu di bawah Rolling Plan Pertama (RP1) 2026 Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), seperti yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini.

Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Terengganu Ir Osman Abdullah berkata kelulusan itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan Persekutuan dalam memperkukuh infrastruktur pengairan, saliran serta langkah mengurangkan banjir di negeri ini.

Beliau berkata antara projek utama yang diluluskan ialah projek Pengawalan Hakisan Pantai Rusila, Marang bernilai RM140 juta; Rancangan Tempatan Banjir Sungai Buaya, Kuala Nerus (RM198.17 juta) dan Rancangan Tempatan Banjir Anak Sungai Ibai, Kuala Terengganu (RM10 juta).

Ad Banner

"Turut diluluskan ialah Projek Pemeliharaan Sungai bagi mengurangkan risiko banjir (RM25 juta); Sistem Saliran Line 28 Kampung Mak Chili Paya, Kemaman (RM29.5 juta); Pelan Induk Saliran Mesra Alam (PISMA) Kemaman (RM3.2 juta) dan Kajian Pelan Induk Tebatan Banjir Lembangan Sungai Dungun (RM4.5 juta).

"Kelulusan ini akan memberi impak besar terhadap pengurangan risiko banjir dan kesejahteraan penduduk di kawasan terlibat,” katanya kepada pemberita selepas Taklimat Program Ramalan dan Amaran Banjir Fasa 2 JPS Bersama Pihak Media di sini hari ini.

Osman berkata kelulusan turut diberikan kepada 18 projek sambungan sedia ada, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan projek di bawah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) RMK13 bernilai RM2.21 bilion.

Sementara itu, Osman berkata beberapa kawasan paling berisiko dilanda banjir telah dikenal pasti yang memerlukan pemantauan rapi berikutan kedudukannya berhampiran tebing sungai utama.

Beliau berkata selain kawasan pedalaman, beberapa penempatan sekitar Kuala Terengganu turut menjadi lokasi berisiko tinggi disebabkan faktor kepadatan penduduk dan kedudukan berdekatan saliran utama.

"Walaupun jumlah keseluruhan 460 kawasan berisiko namun kita beri tumpuan lebih kepada kawasan berhampiran sungai utama yang sering terjejas ketika banjir,” katanya.

Beliau berkata pihaknya juga memasang 11 stesen siren amaran yang berfungsi secara dua peringkat amaran iaitu peringkat amaran awal dan bahaya apabila air mula melimpah di tebing sungai selain memasang 10 kamera pemantauan di kawasan dikena pasti berisiko banjir.

Sebelas stesen siren amaran dipasang membabitkan Kampung La (Downstream), Besut; Kampung La, Besut, Kampung Nibong, Hulu Terengganu; Kuala Ping, Hulu Terengganu; Pengkalan Ajal, Hulu Terengganu; Paloh Nyior, Hulu Terengganu; PPSK Menerong, Hulu Terengganu; Kampung Langkap, Setiu; Hulu Seladang, Setiu; Pasir Raja, Dungun dan Padang Kubu, Kemaman.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan