GOPENG, 24 Okt (Bernama) -- Jumlah perdagangan agromakanan negara terus mencatatkan prestasi cemerlang apabila meningkat kepada RM148.11 bilion pada 2024 berbanding RM125.07 bilion pada 2023, lonjakan sebanyak 18.4 peratus.
Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) Datuk Seri Isham Ishak berkata peningkatan itu menggambarkan perkembangan positif sektor agromakanan negara yang semakin berdaya saing, sama ada di peringkat serantau mahupun antarabangsa.
“Prestasi memberangsangkan ini memperlihatkan kemampuan Malaysia memperkukuh kedudukan dalam rantaian nilai agromakanan di peringkat serantau serta antarabangsa.
“Ia turut didorong oleh pelaksanaan pelbagai inisiatif strategik kerajaan bagi memperkukuh pengeluaran pertanian bernilai tinggi serta meningkatkan kecekapan pengurusan rantaian bekalan makanan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Sambutan Jubli Intan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) ke-60 di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Gopeng di sini hari ini.
Isham bagaimanapun berkata daripada aspek imbangan perdagangan agromakanan, negara merekodkan peningkatan defisit kepada RM39.34 bilion pada 2024 berbanding RM32.32 bilion yang dicatatkan pada 2023.
Beliau berkata keadaan itu menunjukkan kebergantungan negara terhadap import masih tinggi, justeru usaha mengurangkan defisit perlu dipergiat bagi mengurangkan pengaliran keluar wang negara.
“Situasi ini menimbulkan cabaran yang memerlukan pelaksanaan strategi menyeluruh bagi meningkatkan eksport produk pertanian dan agromakanan negara, terutama yang bernilai tinggi,” katanya.
Selain itu, beliau berkata pihaknya berharap FAMA tidak hanya terus berperanan menjadi peneraju utama bagi mengukuhkan ekosistem pemasaran agromakanan negara, malah kekal proaktif dalam memperluas jaringan usahawan serta mengoptimumkan penggunaan teknologi digital.
“Semoga semangat ulang tahun ke-60 ini menjadi pencetus tenaga baharu untuk bersama membina masa depan agromakanan yang lebih makmur, inklusif dan lestari, sekali gus mengangkat sektor ini sebagai industri strategik yang menjamin kedaulatan makanan negara,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial