Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Sultan Nazrin Gesa ASEAN Pastikan Kemajuan Ekonomi Kekal Inklusif, Saksama

24/10/2025 01:59 PM

KUALA LUMPUR, 24 Okt (Bernama) -- Sultan Perak Sultan Nazrin Shah bertitah ASEAN perlu memastikan kemajuan ekonomi di rantau ini kekal inklusif dan saksama kerana pertumbuhan tanpa keterangkuman berisiko melebarkan jurang sosial serta menjejaskan kepercayaan terhadap institusi.

Baginda bertitah pertumbuhan yang inklusif sewajarnya memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat di bandar mahupun luar bandar sambil melindungi alam sekitar dan generasi masa hadapan.

“Pertumbuhan ekonomi perlu bersifat menyeluruh dan saksama secara berterusan, memberikan kebaikan kepada semua golongan di bandar besar mahupun di bandar kecil dan masyarakat luar bandar.

Ad Banner

“Pada masa sama, kita pelu berusaha lebih gigih bagi memastikan strategi pertumbuhan tidak menjejaskan keindahan alam sekitar atau memburukkan lagi krisis pemanasan global yang kian meruncing,” titah baginda dalam perutusan diraja sempena Sidang Kemuncak Pertumbuhan Inklusif ASEAN 2025 di sini hari ini.

Sultan Nazrin bertitah pembangunan inklusif perlu benar-benar memenuhi keperluan rakyat tanpa menjejaskan kesejahteraan generasi akan datang dan betapa pentingnya kestabilan, perpaduan serantau serta kesahan institusi.

Tadbir urus yang baik menjadi asas pertumbuhan inklusif kerana integriti dan kebertanggungjawaban amat penting dalam memperkukuh kepercayaan rakyat terhadap kepimpinan.

Rakyat di seluruh ASEAN menuntut ketelusan dan keadilan yang lebih kukuh, dan tuntutan sedemikian tidak sewajarnya dianggap sebagai cabaran kepada kepimpinan, sebaliknya peluang untuk  mengukuhkannya lagi.  

Dalam perutusan diraja baginda turut menyentuh mengenai pelaksanaan pelbagai pembaharuan di Malaysia dalam bidang perolehan, kewangan awam dan penyampaian perkhidmatan digital sebagai antara inisiatif yang membantu memperkukuh kepercayaan antara rakyat dan institusi.

“Perkara sama turut berlaku di seluruh rantau ini, daripada inisiatif data terbuka yang meningkatkan pemantauan awam sehingga proses belanjawan memberi peluang kepada rakyat menyumbang dalam membuat keputusan. Sebagaimana pertumbuhan ekonomi, tadbir urus juga harus bersifat inklusif.

“Apabila inklusif, kepercayaan dapat dipupuk sekali gus mewujudkan kesahan, kestabilan serta keyakinan untuk melabur dan berinovasi,” titah baginda.

Mengenai peranan sektor kewangan, Sultan Nazrin bertitah kewangan beretika haruslah memacu keterangkuman dan kemakmuran bersama dan baginda menyeru perniagaan untuk menerima pakai tiga penentu keuntungan (triple bottom line), iaitu manusia, planet dan keuntungan dalam membuat keputusan.

Baginda bertitah kewangan Islam telah terbukti sebagai model pertumbuhan berasaskan nilai yang kini mewakili lebih 40 peratus daripada aset sistem kewangan Malaysia manakala di peringkat global, industri itu telah melepasi USD$5 trilion dan terus berkembang sebanyak dua digit setiap tahun walaupun dalam ketidaktentuan kewangan global.

“Kewangan Islam menghubungkan modal dengan tujuan, menggalakkan pelaburan dalam perusahaan produktif dan tidak menggalakkan spekulasi serta eksploitasi,” titah baginda.

Bagaimanapun, Sultan Nazrin bertitah jutaan penduduk dalam ASEAN masih tidak mendapat capaian kewangan dan digital, dengan hampir 200 juta orang dewasa tidak mempunyai kemudahan perbankan selain liputan jalur lebar di luar bandar jauh ketinggalan berbanding kawasan bandar.

Menurut baginda, ekonomi yang kukuh tidak boleh wujud secara berasingan daripada kebajikan rakyat, sambil menekankan bahawa keuntungan ekonomi mesti diterjemahkan kepada kemajuan sosial yang ketara.

Baginda turut menyentuh mengenai pendigitalan dan bertitah bahawa transformasi teknologi boleh menjadi pemacu kerangkumanan yang kuat tetapi memberikan amaran bahawa ia juga boleh memperdalam ketidaksamaan jika akses dan celik huruf gagal seiring.

Sultan Nazrin menekankan kepentingan membina kepercayaan digital menerusi keselamatan siber yang lebih kukuh, privasi data dan tadbir urus yang bertanggungjawab bagi teknologi baharu muncul seperti kecerdasan buatan (AI).

Menyeru kepada perpaduan serantau, baginda bertitah kepelbagaian ASEAN adalah kekuatan yang perlu dipupuk dan pertumbuhan inklusif mesti memastikan semua suara diberikan peluang yang sama untuk maju.

Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) ASEAN meningkat pada purata tahunan 3.9 peratus dan KDNK per kapita pada purata tahunan tiga peratus - sepanjang dekad antara 2015 dan 2024, walaupun berlaku kemelesetan akibat COVID-19.

Hari ini rantau ASEAN, dengan populasi hampir 700 juta, mempunyai gabungan KDNK hampir USD4 trilion, titah baginda.

Sidang Kemuncak Pertumbuhan Inklusif ASEAN 2025 yang julung-julung kalinya diadakan akan berlangsung sehari sebelum Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 26 hingga 28 Okt ini.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan