Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

MAIDAM Perkenal Inisiatif Baharu Tingkat Penyertaan Wakaf

23/10/2025 09:55 PM

KUALA TERENGGANU, 23 Okt (Bernama) -- Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) memperkenalkan beberapa inisiatif baharu yang inovatif dan kontemporari bagi meningkatkan penyertaan wakaf dalam kalangan masyarakat.

Yang Dipertua MAIDAM Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail berkata ia termasuk pendanaan wakaf melalui gabungan instrumen pasaran kewangan dan wakaf yang memberi tumpuan kepada pelaburan berisiko rendah seperti MyWakaf Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB).

Selain itu, beliau berkata usaha sama MAIDAM dengan rakan strategik seperti sekolah swasta Showme Kidz International Sdn Bhd dan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) turut dilaksanakan bagi meningkatkan pendanaan wakaf dalam bidang pendidikan, keagamaan dan sosioekonomi masyarakat setempat.

Ad Banner

“MAIDAM juga meneroka kepelbagaian instrumen wakaf bagi peningkatan dana melalui kerjasama dengan Bank Simpanan Nasional (BSN) untuk kutipan wakaf berasaskan hibah pemegang akaun. Kerjasama ini akan diteruskan menerusi promosi, pengiklanan, program dan sebagainya,” katanya. 

 Shaikh Harun berkata demikian pada Majlis Pelancaran Bulan Wakaf Peringkat Negeri Terengganu 2025 di sini hari ini, yang turut dihadiri Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Yang Dipertuan Muda Terengganu Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan berkenan menyempurnakan majlis itu dan turut berangkat Tengku Setia Mahkota Raja Tengku Muhammad Mua'az Sultan Mizan.

Shaikh Harun berkata untuk pemerkasaan wakaf Zuriat, pihak pengurusan MAIDAM akan mengoptimumkan penggunaan semua aset bagi penjanaan hasil sama ada melalui sewaan, pembangunan, pajakan dan sebagainya.  

Selain itu, pendigitalan MAIDAM pula menyaksikan pelbagai inisiatif wakaf telah ditambah baik dengan teknologi seperti E-wakaf zuriat.

“Penubuhan pejabat keluarga (family office) bagi setiap wakaf zuriat juga akan digerakkan bagi mencapai tadbir urus yang baik. Teknologi E-wakaf zuriat misalnya merupakan antara inisiatif pendigitalan pertama di Malaysia dalam konteks tadbir urus wakaf zuriat,” katanya.

Shaikh Harun berkata dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini, MAIDAM telah menunjukkan perkembangan positif dalam tadbir urus wakaf. 

Beliau berkata setakat ini Terengganu mempunyai 1,336 lot tanah wakaf berkeluasan sekitar 832 hektar dengan nilai aset melebih RM200 juta, dengan antara projek wakaf yang menjadi rujukan pelbagai pihak ialah pembinaan Hotel Grand Puteri di sini di tanah wakaf MAIDAM dan beroperasi sejak 2013.

“Seterusnya ialah pembinaan 16 unit chalet di tanah diwakafkan Allahyarham Baginda Sultan Omar di Kampung Serdang Baru. Manfaat pengoperasian chalet disalurkan semula untuk manfaat pendidikan. Projek ini dalam pembinaan dan dijangka siap Oktober tahun depan,” katanya.

Dalam pada itu, Shaikh Harun berkata penganjuran Bulan Wakaf diharap dapat memupuk kefahaman dan penyertaan aktif masyarakat dalam memperkukuh agenda wakaf negeri.

Beliau berkata ia juga sejajar dengan saranan kerajaan Persekutuan melalui Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) agar majlis agama Islam setiap negeri mempergiat pendidikan dan promosi wakaf di tempat masing-masing.

“Menurut dapatan Malaysian Journal for Islamic Studies 2025, tahap kesedaran masyarakat Terengganu terhadap sumbangan wakaf masih rendah berbanding negeri lain seperti Selangor.

“Justeru penganjuran program Bulan Wakaf diharap dapat meningkatkan kesedaran, memberi kefahaman kepada seluruh lapisan masyarakat mengenai kepentingan wakaf sebagai instrumen pembangunan ekonomi umat Islam,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan