Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

"Karipap Viral" Penjara Kajang Antara Produk Tarikan Mypride Fair Zon Selatan

23/10/2025 08:52 PM

MELAKA, 23 Okt (Bernama) -- Pelbagai produk hasil tangan prospek penjara termasuk karipap pusing sejuk beku keluaran Penjara Kajang yang tular di media sosial sebelum ini, menjadi antara tarikan pada program Mypride Fair Zon Selatan di Kipmall Melaka di sini bermula semalam hingga Ahad ini.

Ketua Bahagian Parol Penjara Negeri Melaka Penguasa Penjara Norul Hisyam Ismail berkata terdapat kira-kira 15 reruai jualan produk daripada lebih 10 penjara di Melaka dan Johor yang boleh dikunjungi orang ramai, selain turut melibatkan Penjara Kajang, Selangor dan Pusat Reintegrasi Penghuni (PRP) Mantin, Negeri Sembilan.

"Pelbagai kategori produk yang dihasilkan banduan dijual di Mypride Fair Zon Selatan 2025, antaranya makanan sejuk beku, logam, kayu, fabrik, buah-buahan dan sayur-sayuran. Kita menyasarkan hasil jualan kali ini sebanyak RM80,000.

Ad Banner

“Turut ditampilkan perkhidmatan refleksologi oleh banduan PRP Mantin yang menjadi tumpuan pengunjung di mana-mana program anjuran Jabatan Penjara sebelum ini," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Mypride Fair Zon Selatan 2025 oleh Pengarah Penjara Negeri Melaka Timbalan Pesuruhjaya Penjara Rosman Norman @ Normin.

Mengulas lanjut, Norul Hisyam berkata jualan 'happy hour' melibatkan diskaun hingga 70 peratus bagi produk terpilih turut diadakan sebagai tarikan kepada pengunjung program jualan itu.

Beliau berkata Mypride Fair Zon Selatan merupakan jelajah terakhir program itu bagi tahun ini selepas penganjuran bagi zon timur, tengah, Sabah dan Sarawak dilaksanakan secara berperingkat.

Tambah beliau penganjuran Mypride Fair bertujuan meningkatkan kualiti produk penjara melalui latihan kemahiran kepada petugas dan penghuni agar produk yang dihasilkan memenuhi piawaian tinggi dan mampu bersaing di pasaran.

"Ia juga bertujuan meningkatkan peluang mereka mendapatkan pekerjaan dan reintegrasi kepada masyarakat setelah dibebaskan serta membantu memasarkan produk keluaran banduan penjara di seluruh negara secara terus kepada orang ramai," katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan