KUALA LUMPUR, 23 Okt (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berpendapat pelaksanaan hukuman rotan di sekolah wajar dipertimbangkan semula, namun perlu dilaksanakan mengikut garis panduan serta kawalan ketat bagi mengelakkan sebarang bentuk penderaan.
Anwar menegaskan bahawa pandangan itu merupakan pendapat peribadinya dan belum menjadi dasar kerajaan, malah perkara berkenaan perlu diperhalusi melalui libat urus menyeluruh antara Kementerian Pendidikan dan pihak berkepentingan termasuk Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM).
“Soal rotan, pandangan peribadi saya, saya telah suarakan, harus dikembalikan…tetapi dengan syarat ketat, bukan rotan di khalayak ramai. Rotan mungkin di tangan, bukan diberi kelonggaran sepenuhnya. Saya pernah jadi guru, saya rotan tetapi di tangan, dan tentunya tidak sampai tahap penderaan,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan R. Sanisvara Nethaji Rayer (PH-Jelutong) berhubung cadangan agar guru diberikan budi bicara untuk merotan bagi mendisiplinkan murid seperti amalan yang pernah dilaksanakan pada masa lalu.
Perdana Menteri berkata walaupun terdapat pandangan daripada pertubuhan hak asasi yang menganggap tindakan merotan termasuk dalam kategori penderaan terhadap kanak-kanak, namun ramai pendidik dan ibu bapa berpendapat bahawa langkah itu masih relevan sekiranya dijalankan secara berhemah.
"Ramai pendidik dan ibu bapa merasakan masih ada keperluan untuk mengembalikan amalan merotan, namun dengan syarat ketat serta hanya dilaksanakan oleh guru tertentu di bilik khas seperti bilik disiplin,” katanya.
Anwar berkata hukuman berasaskan disiplin tidak harus dilihat sebagai penderaan, sebaliknya sebagai langkah mendidik apabila murid melanggar peraturan secara keterlaluan, namun ia mesti dikawal dan dilaksanakan mengikut peraturan sekolah,” katanya.
Menurut beliau, ibu bapa tidak perlu terlalu bimbang kerana kenakalan anak-anak merupakan perkara biasa, namun jika pelanggaran disiplin berlaku secara berlebihan, tindakan sewajarnya perlu diambil.
“Ini hanya pandangan peribadi saya, bukan dasar kerajaan. Saya percaya perkara ini harus dipertimbangkan, diperhalusi dan dilibatkan dengan semua pihak,” katanya.
Menjawab soalan Rayer mengenai kes dua guru Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Chung Hwa Confucian Pulau Pinang yang dituduh di mahkamah kerana merotan murid, Anwar berkata berdasarkan laporan polis, murid terbabit merupakan anak autistik dan kes itu perlu dilihat berdasarkan fakta sebenar.
Anwar berkata pendakwa raya boleh menilai semula tuduhan sekiranya ia melibatkan kesalahan ringan dan tidak bersifat penderaan serius.
Sementara itu, menjawab soalan asal Datuk Seri Saifuddin Abdullah (PN-Indera Mahkota) mengenai langkah memperkukuh kerjasama antara sekolah, ibu bapa, komuniti dan agensi keselamatan, Anwar berkata polis akan terus ditempatkan di sekolah bagi pemantauan keselamatan supaya tidak menimbulkan keresahan dalam kalangan pelajar.
Beliau berkata keputusan itu dibuat selepas kerajaan mengambil kira peningkatan kes buli, penderaan dan jenayah dalam kalangan pelajar serta keperluan memperkukuh kesejahteraan mereka di peringkat akar umbi.
Dalam pada itu, Anwar berkata kempen antibuli akan dipertingkatkan, manakala peranan kaunselor bertauliah, pembantu warden asrama termasuk veteran tentera serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) akan diperkasakan bagi memperkukuh jaringan keselamatan sosial di sekolah.
"Buli ini bukan perkara ringan, ia melibatkan ibu bapa, guru, dan pihak kementerian. Pengetua dan guru tidak boleh melepaskan tanggungjawab. Tahun demi tahun kita dengar kisah buli, tetapi kini dengan media sosial, ia kelihatan lebih ketara," katanya.
Perdana Menteri turut menegaskan bahawa aspek pendidikan nilai dan akhlak perlu diberi penekanan agar murid bukan sekadar menghafal, tetapi mampu menterjemah nilai yang dipelajari dalam tindakan seharian.
Anwar berkata kerajaan juga akan menilai semula keberkesanan sistem sokongan pintar serta program bimbingan sedia ada agar pelaksanaannya lebih menyeluruh dan berkesan.
Beliau pada masa sama menyeru semua pihak termasuk Ahli Parlimen, pendidik dan ibu bapa untuk bersama-sama mencari pendekatan terbaik bagi memperbaiki suasana pendidikan negara.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial