Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Malaysia Hasrat Sertai Global Coalition For Social Justice Tahun Depan

22/10/2025 06:23 PM

KUALA LUMPUR, 21 Okt (Bernama) -- Malaysia berhasrat menyertai Global Coalition for Social Justice pada Persidangan Buruh Antarabangsa (ILC) ke-114  tahun hadapan.

Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dalam kenyataan hari ini memaklumkan perkara itu dizahirkan oleh Menteri Sumber Manusia Steven Sim dalam pertemuan bersama Ketua Pengarah Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) Gilbert F. Houngbo dalam majlis makan tengah hari di ibu negara hari ini.

Global Coalition for Social Justice merupakan inisiatif ILO sejak 2023 bertujuan memperkukuh usaha global ke arah keadilan sosial sejagat.

Ad Banner

“Penyertaan Malaysia adalah untuk menzahirkan komitmen negara untuk terus melindungi hak pekerja, memperluas jaringan perlindungan sosial dan menyokong pencapaian Matlamat Pembangunan Mampan (SDG),” menurut kenyataan itu.

Turut hadir dalam pertemuan berkenaan termasuk wakil kerajaan, pekerja dan majikan antaranya Presiden Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman dan Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Datuk Abdul Halim Mansor. 

Hadir sama Naib Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) Mohd Zool Asmani Mahmood dan Setiausaha Bahagian Antarabangsa KESUMA Raja Mohd Nizam Raja Kamarulbahrin.

Ini merupakan lawatan rasmi pertama Houngbo ke Malaysia dan ia berlangsung dalam suasana santai penuh keakraban, sekali gus mencerminkan semangat keterbukaan dan persahabatan asas hubungan Malaysia-ILO sejak sekian lama.

Houngbo dijadual menghadiri Forum Kemahiran Global (GSF) 2025 anjuran Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRD Corp) di sini esok yang dijangka menjadi wadah penting memperkukuh kerjasama serantau dalam agenda pembangunan kemahiran dan pekerjaan masa depan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan