SHAH ALAM, 21 Okt (Bernama) -- Penganjuran Program Penyemarakan Seni Budaya @ Komuniti Pasar Mui Mah Meri 2025 selama dua hari bermula Sabtu ini di Pulau Carey, Kuala Langat dijangka menarik kehadiran kira-kira 6,000 pengunjung.
Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Selangor Muhammad Hasnimizan Ishak berkata acara yang akan berlangsung di Pusat Kraf Kampung Orang Asli Sungai Bumbun itu bertujuan mengetengahkan keistimewaan etnik Mah Meri menggunakan konsep pasar sehari.
"Mui itu dalam bahasa Mah Meri bermaksud satu. Jadi kita akan satukan para peserta di bawah satu bumbung seperti Pasar Mui Mah Meri ini. Contohnya Pasar Saloma yang mempunyai ramai pengikut setiap kali penganjuran, kami berhasrat meninggalkan legasi seperti itu.
"Selepas ini, ia boleh diteruskan oleh komuniti setempat bagi menjana ekonomi serta pendapatan menerusi pengisian membabitkan elemen kebudayaan dan kesenian untuk jangka masa panjang," katanya pada sidang media program itu di sini hari ini.
Muhammad Hasnimizan berkata JKKN Selangor bekerjasama dengan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) untuk mengendalikan penyertaan pengusaha dari 11 buah kampung Orang Asli di seluruh Selangor menerusi 20 reruai jualan, termasuk persembahan.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Seni Ceritera Sheikh Shuhaimi Sheikh Abdul Rahim berkata pihaknya akan menampilkan elemen makanan sebagai kelainan dalam penganjuran kali ini, hasil daripada pengalaman mengendalikan pelbagai program sebelum ini.
Beliau berkata antara pengisian adalah Pasar Sehari Komuniti Mah Meri, Mah Meri fun run, bola jaring berkain batik, pertandingan Sewang Mui dan permainan Orang Asli, futsal Mah Meri, pertandingan mewarna serta persembahan kesenian dengan artis jemputan Amir Sisi dan Kumpulan Acazero.
"Selain itu, pengunjung juga berpeluang merasai pelbagai juadah Mah Meri yang agak sukar untuk didapati di tempat lain, ia julung-julung kali kami bawakan dalam mana-mana penganjuran sebelum ini, selain minum petang turut disediakan secara percuma kepada semua pengunjung," katanya.
Program Penyemarakan Seni Budaya @ Komuniti Pasar Mui Mah Meri 2025 merupakan kerjasama JKKN Selangor, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Persatuan Seni Ceritera serta Pusat Kraf Kampung Orang Asli Sungai Bumbun Kuala Langat.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial