ARAU, 17 Okt (Bernama) -- Penganjuran Festival Of Ideas Perlis 2025 (FOI@Perlis 2025) yang menampilkan 16 program berimpak tinggi diyakini memberikan kesan positif terhadap pembangunan intelektual dan kesejahteraan komuniti serta menyokong aspirasi menjadikan Perlis sebagai Negeri Ilmu.
Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Datuk Prof Ts Dr Zaliman Sauli berkata program berimpak tinggi yang menumpukan bidang pendidikan tinggi, penyelidikan, inovasi dan keusahawanan itu dapat meningkatkan keterlihatan institusi pendidikan di negeri berkenaan.
“Bertemakan Solusi Inklusif, Komuniti Progresif, FOI@Perlis 2025 menekankan pembangunan masyarakat melalui pendekatan inklusif dan lestari selaras dengan aspirasi menjadikan Perlis sebagai Negeri Ilmu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian festival itu yang berlangsung selama tiga hari bermula dari hari ini. Majlis perasmian itu disempurnakan oleh Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail di Kampus Alam UniMAP, Pauh Putra di sini hari ini.
Zaliman berkata UniMAP selaku penyelaras FOI@Perlis 2025, turut mendapat kerjasama erat daripada kerajaan negeri, Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ) dalam menjayakan penganjuran festival itu.
“Tidak dilupakan penghargaan kepada Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin, Kolej Komuniti Arau, Kolej Komuniti Kangar, Kolej Vokasional Kangar, Kolej Vokasional Arau, Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Kuala Perlis, serta Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kangar atas komitmen dan sumbangan yang diberikan,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial