Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Pendidikan Jadi Wahana Utama Pembentukan Karakter Murid

17/10/2025 02:40 PM

JASIN, 17 Okt (Bernama) -- Pendidikan akan dijadikan wahana utama dalam usaha pembentukan karakter murid, sekali gus memperkukuh peranan sekolah sebagai institusi yang menyemai nilai-nilai murni pada peringkat akar umbi.

Timbalan Pengarah Sektor Sains Sosial, Bahagian Pembangunan Kurikulum, Kementerian Pendidikan (KPM) Mohd Kamal Abdullah berkata pembentukan karakter bukan sahaja akan disampaikan melalui kurikulum, malah diperluaskan melalui persatuan, pekerjaan dan pembelajaran seharian.

“Pembentukan karakter murid akan menjadi agenda utama dalam memastikan generasi masa depan bukan saja cemerlang dalam pencapaian akademik, tetapi kita berharap pembentukan karakter akan diperkukuhkan lagi membabitkan aspek sosial, kepimpinan dan jati budi.

Ad Banner

“Kita harap menggunakan pendidikan sebagai wahana utama dalam proses pembentukan karakter menjadikan sekolah sebagai institusi berpengaruh dalam menyemai nilai murni seperti empati, integriti, hormat, tanggungjawab dan sikap jati diri yang kuat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan taklimat sempena Pocket Talk KPM dengan topik Kurikulum Persekolahan 2027 (KP27) sempena Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 Melaka di Politeknik Merlimau di sini hari ini.

Terdahulu, KPM memaklumkan Program Pembentukan Karakter diperkenalkan sebagai satu daripada inisiatif utama di bawah KP27 bagi melahirkan murid yang bersahsiah unggul, beradab dan bertanggungjawab.

Menurut KPM, program itu merupakan anjakan strategik dalam sistem pendidikan negara bagi memperkukuh pembangunan sahsiah dan nilai murni secara menyeluruh serta berstruktur dalam kalangan murid.

Sehubungan itu, Mohd Kamal berkata inisiatif itu merupakan usaha bersungguh-sungguh KPM bagi membentuk individu holistik dan seimbang, seiring dengan budaya bangsa dan nilai nasional.

Beliau berkata program pembentukan karakter itu akan menumpukan kepada penerapan nilai murni berlandaskan empat teras karakter utama iaitu penyayang, berdaya tahan, berupaya memimpin dan warganegara aktif.

“Pembentukan karakter ini bukan semata-mata secara teoretis (tetapi) akan berfokus kepada amalan murid (iaitu) bagaimana kita hendak membentuk nilai sahsiah mereka supaya berwatak unggul pada masa akan datang,” katanya.

Mohd Kamal menegaskan usaha pembentukan karakter harus menjadi agenda utama sistem pendidikan dalam memastikan generasi masa depan bukan sahaja cemerlang akademik, malah unggul dari aspek sosial, kepimpinan dan jati diri.

Program Pembentukan Karakter akan dilaksanakan secara bersepadu menerusi aktiviti harian pembelajaran di peringkat prasekolah, manakala peringkat sekolah rendah dan menengah pula memperuntukkan masa khusus 60 jam seminggu dalam jadual waktu supaya inisiatif itu dilaksanakan secara terancang dan berfokus.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan