CHUKAI, 16 Okt (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Terengganu menerima empat aduan berkaitan pelanggaran peraturan program subsidi bersasar BUDI MADANI RON95 (BUDI95).
Pengarahnya Mohd Mufsi Lat berkata aduan itu melibatkan manipulasi meter pam atau isian petrol yang kurang daripada biasa di beberapa stesen minyak di negeri ini.
Beliau berkata susulan itu pihaknya telah menjalankan pemeriksaan di premis terlibat dan mendapati tiada sebarang unsur penipuan atau pelanggaran dikesan setakat ini.
"Ekoran aduan itu, anggota penguat kuasa KPDN bersama Metrology Corporation Malaysia Sdn Bhd (MCM) telah menjalankan pemeriksaan serta penentusahan di stesen minyak terlibat menggunakan alatan khas bagi memastikan ketepatan bacaan serta pematuhan kepada piawaian ditetapkan.
"Hasil pemeriksaan mendapati bacaan meter pam berada dalam had selisih yang dibenarkan serta tiada bukti kukuh menunjukkan berlakunya sebarang manipulasi oleh pengendali stesen minyak tersebut,” katanya kepada pemberita selepas menjalankan pemeriksaan dan penentusahan meter pam minyak di sebuah stesen minyak di sini hari ini.
Bagaimanapun, Mohd Mufsi berkata KPDN tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang menipu atau memanipulasi transaksi jualan bahan api dan setakat ini 108 stesen minyak di seluruh negeri telah diperiksa.
Terdahulu, Mohd Mufsi turut melancarkan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali 2025 di sebuah pasar raya di sini.
Beliau berkata pihaknya telah menggerakkan 119 anggota penguat kuasa dan 58 Pegawai Pemantau Harga (PPH) di lokasi strategik termasuk pasar awam, pusat beli-belah dan pasar tani bagi pelaksanaan SHMMP Deepavali.
“Sehubungan itu, semua peniaga diingatkan agar tidak mengambil kesempatan dengan menaikkan harga bagi mengelak dikenakan denda atau tindakan undang-undang,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial