KUALA LUMPUR, 16 Okt (Bernama) -- Mesyuarat Menteri-Menteri Tenaga ASEAN Ke-43 (AMEM-43) berjaya mencapai Keberhasilan Utama Ekonomi (PED) 2025 dan beberapa inisiatif penting lain di bawah Kepengerusian Malaysia, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.
Fadillah, yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata antara yang telah diluluskan ialah pengesahan Memorandum Persefahaman (MoU) yang dipertingkatkan bagi Grid Kuasa ASEAN (APG), bertujuan untuk mengukuhkan jaringan hubungan serantau.
Beliau berkata pencapaian lain pengesahan Pelan Tindakan Kerjasama Tenaga ASEAN (APAEC) 2026-2030 baharu, iaitu hala tuju serantau untuk lima tahun akan datang dan Perjanjian Keselamatan Petroleum ASEAN (APSA) Perjanjian Pengganti.
“Pencapaian ini mencerminkan kesungguhan ASEAN untuk mempercepatkan peralihan tenaga ke arah yang lebih lestari dan inklusif, dengan memastikan tidak ada mana-mana negara anggota atau komuniti yang ketinggalan,” katanya dalam ucapan alu-aluan di AMEM-43 dan mesyuarat berkaitan serta Majlis Perasmian Bersama Forum Tenaga Perniagaan ASEAN 2025 (AEBF 2025) di sini hari ini.
Fadillah berkata PED dan inisiatif penting lain yang dicapai semasa AMEM-43 adalah pelancaran Inisiatif Pembiayaan APG yang disokong oleh Bank Pembangunan Asia dan Bank Dunia dengan gabungan komitmen lebih USD12 bilion.
Selain itu, pengesahan Rangka Kerja Sijil Tenaga Boleh Baharu (REC) ASEAN dan Rangka Kerja Pembangunan Loji Kuasa Nuklear (REC), memuktamadkan Terma Rujukan Kabel Kuasa Bawah Laut dan Hala Tuju Jangka Panjang Tenaga Boleh Diperbaharui.
Turut dilancarkan adalah Pangkalan Data Kecekapan Tenaga dan Platform Pelaburan ASEAN serta penubuhan Sekolah Regulasi ASEAN (ASR) yang akan diterajui oleh Malaysia.
“Pada masa hadapan, kita sebagai ASEAN akan terus menyelaras projek, mengharmonikan piawaian taknikal dan merealisasikan semula pelan agar menjadi hasil yang konkrit,” katanya
Fadillah berkata tema bagi sektor tenaga AMEM tahun ini iaitu “Memperkasa ASEAN: Merentasi Sempadan, Membina Kemakmuran” menggambarkan semangat ASEAN dalam memperkukuh integrasi, meningkatkan ketahanan dan memastikan setiap negara anggota mendapat manfaat daripada peralihan tenaga.
“Sebagai tuan rumah, Malaysia bersedia berkerjasama rapat dengan semua negara anggota ASEAN, rakan dialog dan pertubuhan antarabangsa demi kemajuan visi yang dikongsi bersama ini.
“Kita perlu bersama-sama mengukuhkan perpaduan, komited terhadap hasil yang nyata dan transformatif serta bersama-sama memacu ASEAN ke arah menjadi peneraju serantu dalam peralihan tenaga global,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial