Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Ascott Malaysia Rai 50 Graduan Pertama Di Bawah Inisiatif ADI

16/10/2025 06:39 PM

KUALA LUMPUR, 16 Okt (Bernama) -- Ascott Malaysia hari ini meraikan pengijazahan 50 pekerja mereka, yang pertama di bawah inisiatif Akademi Dalam Industri (ADI) oleh Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), dengan kerjasama UTMSPACE.

The Ascott Limited dalam kenyataan hari ini memaklumkan pencapaian itu menandakan Ascott Malaysia sebagai organisasi penginapan pertama di Malaysia yang menyertai serta berjaya menamatkan latihan kakitangan di bawah program ADI, sekali gus membuktikan kepimpinan Ascott dalam mempertingkat piawaian industri serta pelaburan terhadap pembangunan tenaga kerja.

Menurut kenyataan itu, kumpulan perintis berkenaan menyertai lebih 500 graduan di seluruh negara, melakar detik penting dalam misi Malaysia melahirkan bakat yang bersedia untuk industri.

Ad Banner

Pengarah Akademik S. Anita berkata pencapaian itu menyerlahkan usaha Ascott Malaysia dalam memperkasa kakitangan menerusi pendidikan dan peningkatan kemahiran.

“Apabila anda melihat pencapaian dan rasa bangga pada wajah mereka ketika menerima skrol, anda sedar anda bukan sekadar memberi pendidikan, tetapi turut menambah nilai sebenar dalam kehidupan mereka.

“Bagi sesetengah daripada mereka, memakai jubah konvokesyen dahulu dianggap sesuatu yang mustahil dan ekspresi tidak percaya pada wajah mereka menjadi peringatan di Ascott Malaysia, impian benar-benar boleh menjadi kenyataan,” katanya dipetik daripada kenyataan itu.

Ad Banner

Menurut kenyataan itu, dalam usaha memperkukuh komitmen terhadap pendidikan profesional, Ascott Malaysia turut menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan UTMSPACE, anak syarikat Universiti Teknologi Malaysia (UTM), bagi membangunkan Program Diploma Berganda secara bersama.

“Inisiatif ini bertujuan memastikan graduan masa hadapan bukan sahaja memiliki kelayakan akademik, tetapi turut dilengkapi kemahiran industri sebenar, sekali gus merapatkan jurang antara pendidikan dan kebolehpasaran pekerjaan,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Pengurus Besar Ascott bagi Malaysia Mondi Mecja, yang juga Felo UTMSPACE berkata kerjasama itu memperkukuh lagi visi bersama antara kedua-dua institusi dalam memupuk pembelajaran berterusan dan kecemerlangan.

“Program ADI mencerminkan kepercayaan Ascott bahawa pendidikan mampu mengubah kehidupan serta memperkasakan individu untuk mencapai potensi tertinggi mereka. Banyak antara graduan ini mewakili kisah ketabahan, keazaman dan peluang yang membuktikan pembelajaran tiada batasan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan