Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Sidang Kemuncak ASEAN: Enam Lebuh Raya, 25 Jalan Utama Dilencongkan Mulai 26 Okt

16/10/2025 03:15 PM

KUALA LUMPUR, 16 Okt (Bernama) -- Sebanyak enam lebuh raya dan 25 jalan utama di sekitar Lembah Klang akan dilencongkan secara berperingkat bersempena dengan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang dijadualkan berlangsung dari 26 hingga 28 Okt ini.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata laluan berkenaan termasuk Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (ELITE), Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE), Lebuhraya GUTHRIE, Lebuhraya Utara-Selatan, Lebuhraya MEX dan Lebuhraya KL-Seremban.

Jalan lain yang terlibat ialah Lebuh Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Lingkaran Putrajaya, dan beberapa jalan utama di pusat bandar termasuk Jalan Istana, Jalan Damansara, Jalan Tun Abdul Razak, Jalan Ampang, Jalan Sultan Ismail, Jalan Bukit Bintang, Jalan Parlimen dan Jalan Kuching.

Ad Banner

Beliau berkata sebanyak 1,111 pegawai dan anggota trafik akan ditugaskan sepanjang tempoh persidangan berlangsung bagi memastikan kelancaran pergerakan delegasi serta orang kenamaan.

“Penugasan JSPT bermula dari 17 hingga 29 Okt, melibatkan kawalan lalu lintas, pengiringan kenderaan orang kenamaan serta penguatkuasaan undang-undang jalan raya sepanjang tempoh persidangan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Menurut Mohd Yusri, raptai pergerakan motosikal pengiring pula akan dijalankan bermula esok hingga 24 Okt melibatkan laluan dari Kompleks Bunga Raya, KLIA dan Pangkalan Udara TUDM Subang ke hotel-hotel penginapan di sekitar Kuala Lumpur, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dan Seri Negara.

Ad Banner

Beliau turut menasihati orang awam untuk mengelak laluan yang terlibat dengan lencongan dan penguraian trafik serta menggunakan pengangkutan awam seperti MRT, LRT, monorel atau bas sepanjang tempoh persidangan.

“Bagi petugas media, petugas kesihatan dan mereka yang menjalankan tugas rasmi, kemudahan melalui jalan raya yang dilencongkan akan diberi dan perlu menunjukkan pas rasmi masing-masing, namun jika kedatangan orang kenamaan terlalu hampir, anggota trafik tidak akan benarkan,” katanya.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan sidang berkaitan yang akan berlangsung dari 26 hingga 28 Okt ini merupakan kemuncak kepada Kepengerusian ASEAN oleh Malaysia pada 2025 yang membawa tema "Keterangkuman dan Kemampanan".

Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, Perdana Menteri China Li Qiang, Presiden Brazil Luiz Inacio Lula da Silva dan Presiden Afrika Selatan Cyril Ramaphosa antara pemimpin dunia yang dijangka hadir ke sidang kemuncak itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan