KOTA KINABALU, 16 Okt (Bernama) -- Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 29 Nov ini sebagai hari pengundian bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.
Pengerusi SPR Datuk Seri Ramlan Harun berkata tarikh penamaan calon pula ditetapkan pada 15 Nov dan tarikh pengundian awal pada 25 Nov.
“Sebanyak 1,784,843 juta pengundi yang layak akan menjalankan tanggungjawab masing-masing (pada PRN Sabah ke-17),” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat khas bagi PRN Sabah ke-17 di Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Sabah, di sini hari ini.
Pada 6 Okt lepas, Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah bagi memberikan laluan kepada PRN Sabah ke-17.
DUN Sabah mempunyai 79 kerusi, dengan 73 daripadanya dipertandingkan, manakala enam lagi merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang dilantik.
Ramlan berkata SPR akan melantik sebanyak 33,002 petugas bagi melancarkan proses pilihan raya negeri itu.
Beliau berkata sebanyak 940 pusat mengundi dengan 3,645 saluran akan digunakan pada pilihan raya terbabit, melibatkan 882 pusat mengundi biasa dengan 3,558 saluran, manakala 58 pusat mengundi dengan 87 saluran pula disediakan untuk proses pengundian awal.
“PRN Sabah ke-17 ini dianggarkan memerlukan peruntukan RM116.8 juta,” katanya.
Beliau berkata SPR melantik 25 pegawai pengurus pilihan raya bagi menjalankan proses pilihan raya terbabit dengan dibantu 196 penolong pegawai pengurus.
SPR juga, kata beliau akan menubuhkan 86 pasukan penguat kuasa kempen pilihan raya yang turut dianggotai wakil daripada Polis Diraja Malaysia, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan wakil calon bertanding.
“(Pasukan itu) bertujuan memantau aktiviti kempen pilihan raya sepanjang tempoh rasmi berkempen,” katanya dan menambah bahawa 25 pusat penamaan calon dan pusat penjumlahan rasmi undi akan digunakan pada pilihan raya itu.
Ramlan berkata Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) yang akan digunakan bagi PRN kali ini ialah Daftar Pemilih Tambahan Bulan Ogos Tahun 2025 yang dikemas kini hingga 5 Okt lepas melibatkan 1,784,843 pemilih.
Mereka terdiri daripada 1,760,417 pengundi biasa, 11,697 anggota tentera serta pasangan dan 12,729 anggota polis serta pasangan yang dibenarkan membuat semakan maklumat pengundian mulai 1 Nov ini.
Ketika ditemui pemberita selepas sidang media itu, Ramlan berkata SPR memberikan jaminan proses pengundian bagi PRN Sabah ke-17 pada 29 Nov ini tidak akan mengganggu perjalanan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang dijadualkan bermula pada 25 Nov.
Beliau berkata pihaknya sudah mengambil kira semua aspek logistik bagi memastikan tiada pertindihan lokasi antara pusat mengundi dengan pusat peperiksaan.
“Proses pengundian ini akan diadakan pada Sabtu. Insya-Allah, tidak akan mengganggu peperiksaan SPM,” katanya dan menambah tempoh berkempen ditetapkan 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon pada 15 Nov hingga 11.59 malam, 28 Nov.
Mengulas cadangan supaya pengundi Sabah di Semenanjung dibenarkan mengundi secara pos, Ramlan menjelaskan perkara itu masih belum diputuskan oleh SPR.
“Buat masa ini pengundi rakyat Sabah yang bukan berada di Sabah, kena pulanglah … balik sini untuk mengundi,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial