KUALA LUMPUR, 16 Okt (Bernama) -- Insentif Penerbitan Filem di Malaysia (FIMI) terus membuahkan hasil apabila berjaya menarik komitmen pelaburan bernilai RM300 juta di Marché International des Programmes de Communication (MIPCOM) 2025, pasaran kandungan terbesar dunia yang berlangsung di Cannes, Perancis.
Menurut kenyataan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), pencapaian itu menandakan pengiktirafan antarabangsa terhadap daya saing Malaysia sebagai hab penggambaran dan pascaproduksi serantau.
Sebanyak dua syarikat kandungan global, iaitu Banijay Group dan Hasbro Entertainment mengesahkan pelaburan serta kerjasama strategik di Malaysia menerusi insentif FIMI yang menawarkan rebat tunai antara 30 hingga 35 peratus kepada syarikat produksi antarabangsa.
“Banijay Group, penerbit program realiti dan hiburan global seperti Survivor, MasterChef dan Temptation Island, mengesahkan pelaburan bagi siri produksi berskala antarabangsa yang akan memulakan penggambaran di Malaysia bermula 2026,” menurut kenyataan itu.
Sementara itu, Hasbro Entertainment, rakan industri animasi dan francais global seperti Transformers dan My Little Pony, bersetuju memeterai kerjasama jangka panjang bersama studio tempatan dengan sokongan agensi itu bagi pengeluaran kandungan animasi global.
Menurut FINAS, kejayaan itu turut membuka peluang kepada pemain industri tempatan dalam aspek kerjasama, pemindahan teknologi serta pembangunan bakat.
“FINAS terus komited memperkukuh kedudukan Malaysia dalam industri kandungan global dan memastikan manfaat pelaburan ini dinikmati oleh penggiat industri tanah air,” menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial