LABUAN, 15 Okt (Bernama) -- Pantai Layang-Layangan yang merupakan antara kawasan pesisiran pantai yang indah di Labuan akan dibangunkan sebagai tarikan baharu kepada penduduk tempatan dan pengunjung.
Kawasan pantai berkenaan bakal dilengkapi dengan kemudahan awam yang dinaik taraf dan sebuah terowong reka bentuk unik bagi meningkatkan daya tarikan sebagai destinasi riadah hujung minggu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata projek dilaksanakan Perbadanan Labuan (LC) itu akan turut meliputi pembinaan gerai makanan baharu dan menaik taraf struktur gerai sedia ada.
Beliau berkata sebahagian daripada projek yang telah siap termasuk tempat letak kereta berturap konkrit dan terowong laluan pejalan kaki telah meningkatkan kemudahan kepada pengunjung.
“Pantai Layang-Layangan telah lama dikenali sebagai satu daripada lokasi terbaik di Labuan untuk menikmati pemandangan matahari terbenam.
“Menerusi penambahbaikan yang dirancang, ia akan menjadi lokasi yang lebih menarik untuk aktiviti santai dan sosial,” katanya kepada pemberita selepas meninjau lokasi itu.
Projek berkenaan adalah sebahagian daripada usaha berterusan untuk menambah baik kemudahan awam dan infrastruktur pelancongan di Labuan, sejajar dengan komitmen kerajaan Persekutuan untuk meningkatkan potensi pelancongan pulau berkenaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial