Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Pendidikan, Pelancongan Tunjang Utama Hubungan Lebih Erat ASEAN-New Zealand

15/10/2025 03:51 PM

KUALA LUMPUR, 15 Okt (Bernama) -- Pendidikan dan pelancongan berperanan sebagai tunjang utama dalam kolaborasi ASEAN-New Zealand selain menjadi  jambatan penghubung antara rakyat sekali gus memupuk persefahaman serantau dan kemakmuran dalam dunia yang kian mencabar.

Perdana Menteri New Zealand Christopher Luxon berkata ASEAN dan New Zealand perlu bekerjasama dalam “satu kumpulan” untuk mendepani cabaran global dan pengaruh luar yang kian meningkat, maka aspek pendidikan dan pelancongan kini dilihat menjadi kunci untuk memperkukuh hubungan serta daya ketahanan. 

Luxon berkata hubungan sesama rakyat juga memainkan peranan penting kerana persefahaman antara negara bermula daripada hubungan individu yang kemudian berkembang kepada perdagangan, modal dan sumber maklumat yang lebih meluas.

Ad Banner

“Perkara itulah yang menjadi inilah teras utama kepada perkongsian dan hubungan ASEAN-New Zealand. Hubungan antara rakyat amat penting kerana di situlah terbinanya keakraban dan persefahaman, dan barulah kita boleh berbincang mengenai potensi kerjasama.

“Jika tiada kerjasama dan saling memahami ... sama ada melalui pendidikan atau pelancongan, maka tidak akan wujud perdagangan dan perkongsian maklumat,” katanya dalam wawancara eksklusif bersama BERNAMA TV hari ini.

Luxon berkata New Zealand telah menjalinkan hubungan rapat dalam bidang pendidikan dengan negara-negara ASEAN sejak sekian lama, khususnya dengan Malaysia, dan sejak era Rancangan Colombo lagi hubungan itu berkembang pesat menyaksikan negara-negara ASEAN kini membentuk sebahagian besar komuniti pendidikan antarabangsa di New Zealand.

Ad Banner

“Kami terus menawarkan sejumlah besar biasiswa ke universiti di New Zealand bagi membantu pembangunan kapasiti dan perkongsian kepakaran. Saya mahu melihat pertumbuhan berterusan khususnya dalam bidang pendidikan. 

“Selain itu, pelancongan menjadi tumpuan sekunder dalam hubungan antara rakyat apabila seseorang benar-benar berpeluang merasai pengalaman sesebuah negara,” katanya sambil menambah semakin banyak rakyat New Zealand mula mengenali Malaysia sebagai destinasi pelancongan.

Mengulas mengenai kestabilan serantau, Luxon berkata New Zealand terus memperkukuh hubungan pertahanan dan keselamatan di rantau ini, khususnya melalui Perjanjian Pertahanan Lima Negara (FPDA) yang melibatkan Malaysia, Singapura, United Kingdom, Australia dan New Zealand.

New Zealand juga telah merangka pelan 15 tahun untuk mempertingkatkan fokus pertahanan dan keselamatan membabitkan perbelanjaan sebanyak NZ$12 bilion dalam tempoh empat tahun akan datang, selain berhasrat untuk bekerjasama dengan negara-negara ASEAN yang lain.

Beliau berkata kerjasama tidak terhad kepada bidang ketenteraan semata-mata kerana perubahan iklim kekal sebagai cabaran global yang tidak dapat ditangani oleh mana-mana negara secara bersendirian, dan New Zealand serta ASEAN mempunyai peranan penting dalam hal ini.

Berbekalkan pengalaman serta kepakaran dalam tenaga boleh diperbaharui termasuk hidro, solar, angin dan geoterma, Luxon berkata New Zealand komited membantu negara-negara ASEAN menuju ke arah sistem tenaga yang lebih bersih dan lestari.

“Saya percaya New Zealand boleh menawarkan banyak perkara dalam bidang tenaga boleh diperbaharui dan bagaimana pelaksanaannya di seluruh rantau ini, dengan berkongsi pengetahuan mengenai tenaga hidro, solar, angin dan geoterma.

“Kita perlu bekerjasama terutamanya dalam usaha mengurangkan impak bencana alam, meningkatkan keupayaan respons krisis, pengurusan kecemasan dan perkara yang seumpamanya,” katanya.

Luxon turut berkongsi pengalamannya menikmati keenakan sajian Malaysia, dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pernah memperkenalkannya kepada buah durian ketika pertemuan mereka sebelum ini.

“… Rasanya (durian) sangat enak. Malaysia juga mempunyai makanan yang lazat, layanan yang mesra, rakyat yang baik serta suasana ceria dan menyeronokkan. Saya berharap saya berpeluang untuk berkunjung lagi ke (Malaysia) dalam masa terdekat,” kata Luxon.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan