KUALA LUMPUR, 15 Okt (Bernama) -- Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan mengurniakan darjah Panglima Gagah Angkatan Tentera (PGAT) kepada Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Mohd Nizam Jaafar pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kepahlawanan Angkatan Tentera Malaysia (DKAT) 2025.
Mohd Nizam mendahului senarai 100 penerima pingat pada sesi pertama yang berlangsung di Balairung Seri Istana Negara di sini hari ini.
Istiadat itu dilaksanakan bersempena dengan sambutan Hari Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ke-92 dan bertujuan menghargai pegawai serta anggota lain-lain pangkat ATM yang berkelayakan atas jasa dan pengorbanan tidak berbelah bahagi.
Seri Paduka Baginda turut berkenan mengurniakan darjah PGAT kepada Panglima Tentera Udara Jen Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris.
Turut berangkat pada istiadat itu Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah.
Turut hadir Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Lokman Hakim Ali serta panglima-panglima perkhidmatan dan pegawai-pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Pada istiadat itu, Sultan Ibrahim yang juga Pemerintah Tertinggi ATM berkenan mengurniakan darjah PGAT Kehormat kepada empat pemerintah tertinggi tentera negara luar.
Mereka terdiri Panglima Tentara Nasional Indonesia (TNI) Jenderal TNI Agus Subiyanto; Panglima Tentera Darat Diraja Kemboja Jeneral Mao Sophan; Ketua Staf Tentera Udara Indonesia Air Chief Marshal Mohamad Tonny Harjono; dan Panglima Tentera Udara Angkatan Udara Republik Singapura (RSAF) Mejar Jeneral Kelvin Fan Sui Siong.
Seri Paduka Baginda turut berkenan mengurniakan darjah Panglima Setia Angkatan Tentera (PSAT) kepada 20 penerima, Pahlawan Angkatan Tentera (PAT) kepada 18 penerima, Kesatria Angkatan Tentera (KAT) kepada 28 penerima, dan 28 individu menerima darjah Bentara Angkatan Tentera (BAT).
Penganugerahan Pingat DKAT berlangsung dalam dua sesi pengurniaan dengan sesi kedua dijadualkan diadakan di Wisma Perwira ATM pada 30 Okt dan dijangka disempurnakan oleh Mohamed Khaled, melibatkan 526 penerima menjadikan jumlah keseluruhan penerima sebanyak 626 orang.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial