Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Deepavali: Modenkan Pani Puri, Usahawan OKU Bangkit Dengan Sentuhan Istimewa

15/10/2025 11:57 AM

 

Oleh Mohamad Syazwan Mustafa

JOHOR BAHRU, 15 Okt (Bernama) -- Di sebalik kekangan fizikal dan kisah hidup penuh ujian, seorang usahawan orang kurang upaya (OKU) dari sini menjadikan juadah tradisional India, pani puri, sebagai simbol kekuatan, inovasi dan harapan baharu menjelang sambutan Deepavali.

Ad Banner

S. Nagarajan, 47, yang pernah diserang strok dan mengalami kecederaan kekal pada tangan kanan akibat kemalangan motosikal, kini bangkit sebagai peniaga sepenuh masa dengan memodenkan snek klasik itu, dengan memperkenalkan pelbagai perisa moden seperti coklat, keju, pistachio, yogurt dan aiskrim.

Pani puri sekarang semua orang suka, bukan hanya kaum India tetapi juga Melayu dan Cina. Sebab itu saya hasilkan pelbagai perisa moden supaya semua orang boleh rasa dan nikmati,” katanya ketika ditemui Bernama di Bazaar Deepavali Little India, baru-baru ini.

Meskipun diserang strok yang menjejaskan bahagian kiri badan dua tahun lalu serta mengalami kelumpuhan tangan kanan sejak usia 30 tahun, beliau tidak pernah menjadikan status OKU sebagai halangan, sebaliknya terus gigih memajukan perniagaannya, NSS Gana Pani Puri & Kunafa.

Ad Banner

“Saya kuatkan semangat...Saya mahu berdikari, bantu keluarga dan tunjuk pada anak-anak bahawa kekurangan bukan penghalang untuk berjaya,” katanya.

Disokong isteri tercinta, K. Tamil Selvi, 48, yang menyediakan air perisa dan inti kentang istimewa, gerai mereka menjadi tumpuan ramai bukan sahaja kerana keunikan rasa juadah, tetapi juga kisah di sebalik kejayaan kecil itu.

Puri saya beli dari Kuala Lumpur, tapi rahsianya terletak pada air perisa dan inti yang isteri saya buat. Anak saya pun tolong berniaga, dan saya bangga dia ikut jejak saya,” kata bapa kepada empat anak itu.

Pani puri yang dijual dalam set lapan biji pada harga antara RM12 hingga RM23 hadir dalam pelbagai variasi moden seperti cheesy wedges, blueberry, chicken floss dan chocolate cheese, namun tetap mengekalkan cita rasa tradisionalnya.

Tidak terhad kepada snek India, Nagarajan turut menjual kunafa, sambal belacan, sambal petai, muruku dan barangan sembahyang, selain membantu memasarkan produk peniaga lain di gerainya, menjadikan beliau bukan sekadar usahawan, malah penyokong komuniti setempat.

Keunikan dan semangat yang ditonjolkan turut menarik perhatian pengunjung luar negara. Warga Singapura, M. Karthik, 30, mengakui tertarik dengan variasi pani puri tersebut.

“Ia benar-benar menarik perhatian saya, bukan sahaja unik, malah ditawarkan dalam pelbagai perisa yang menjadikannya cukup istimewa,” katanya.

Menjelang sambutan Deepavali, juadah moden ciptaan Nagarajan terus mendapat sambutan, dengan pelanggan bukan sekadar membeli, tetapi hadir untuk memberi sokongan kepada usahanya yang luar biasa.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan