LABUAN, 14 Okt (Bernama) -- Kelulusan Rang Undang-Undang (RUU) Perikanan (Pindaan) 2025 oleh Dewan Rakyat pada Julai lalu menandakan langkah besar ke hadapan dalam usaha Malaysia membanteras aktiviti penangkapan ikan haram, tidak dilaporkan dan tidak terkawal (IUU), khususnya pencerobohan vesel asing ke perairan negara.
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata RUU berkenaan digubal bagi memperkukuh penguatkuasaan serta menjadi langkah pencegahan kepada nelayan asing, khususnya dari Vietnam, yang terus menceroboh perairan maritim Malaysia.
Beliau berkata antara langkah pencegahan dalam RUU itu termasuk kuasa untuk merampas vesel nelayan asing yang terlibat dalam aktiviti penangkapan ikan haram, sebagai sebahagian daripada penguatkuasaan lebih tegas bagi melindungi sumber marin negara.
Arthur berkata penyelesaian isu penangkapan ikan haram turut memerlukan kerjasama serantau dan pendekatan diplomatik berterusan, terutamanya melalui platform ASEAN.
“Kami sedang menangani isu ini secara aktif melalui sesi libat urus diplomatik serantau, termasuk pada Persidangan ASEAN, dan menjangka perkara ini turut dibangkitkan semula pada Sidang Kemuncak ASEAN hujung bulan ini,” katanya kepada Bernama selepas merasmikan Persidangan Tuna Labuan pertama malam tadi.
Arthur sebelum ini dilaporkan berkata aktiviti penangkapan ikan haram menyebabkan kerugian dianggarkan berjumlah RM823 juta kepada negara bagi tempoh 2020 hingga 2024, melibatkan penyusutan stok ikan komersial, kemusnahan habitat marin serta tekanan terhadap sumber perikanan tempatan.
Beliau berkata RUU ini bukan sekadar pindaan undang-undang, sebaliknya merupakan inisiatif reformasi untuk memperkukuh tadbir urus sektor perikanan negara, memastikan kelestarian sumber marin dan melindungi hak nelayan tempatan termasuk komuniti pesisir pantai serta pulau.
Arthur berkata undang-undang baharu itu juga sejajar dengan amalan terbaik antarabangsa dan saranan Suruhanjaya Eropah, sekali gus mengukuhkan pendirian tegas Malaysia terhadap aktiviti penangkapan ikan IUU.
“RUU Perikanan (Pindaan) 2025 memastikan Malaysia diiktiraf sebagai negara yang komited terhadap amalan perikanan lestari dan pengawalseliaan ketat terhadap perairannya,” katanya.
Beliau menambah bahawa melalui pindaan ini, Malaysia berhasrat memperkukuh keselamatan maritimnya, melindungi komuniti nelayan serta memperteguh komitmen terhadap tadbir urus lautan yang mampan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial