Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Kerajaan Sentiasa Utamakan Peluang Pendidikan Untuk Rakyat - Anwar

11/10/2025 07:08 PM

IPOH, 11 Okt (Bernama) -- Kerajaan sentiasa memikul tanggungjawab untuk menyediakan peluang pendidikan yang mencukupi serta mengutamakan rakyat termasuk pelajar cemerlang bagi melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi dalam negara.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan sedang berusaha memperluas peluang pengajian di dalam negara di samping membuka ruang kepada pelajar untuk menyambung pengajian di institusi luar negara. 

“Saya lihat bila buka UPU (Unit Pusat Universiti), bergaduh tidak dapat (tempat). Sampai jadi isu kaum, maka kita dengar semua (masalah) dan cari penyelesaian berunding dengan baik.

Ad Banner
Ad Banner

“Jangan runsing. Itu tanggungjawab kita sediakan. (Walau) ada 170,000 pelajar luar negara hendak belajar di sini, kita bagi keutamaan kepada rakyat Malaysia. (Belanjawan 2026) 1,500 tempat kita sediakan untuk pelajar cemerlang Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan matrikulasi,” katanya.

Beliau berkata demikian di hadapan 1,500 pelajar yang juga calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada Program SPM Cemerlang MADANI di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (C) Yuk Choy di sini hari ini yang turut dihadiri Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh.

Semalam, ketika membentangkan Belanjawan 2026, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan bersetuju menambah 1,500 tempat baharu bagi pengajian ijazah sarjana muda dalam 10 bidang utama di lima universiti penyelidikan negara.

Ad Banner

Bidang tersebut termasuk undang-undang, perakaunan, ekonomi, perbankan, kewangan Islam, kecerdasan buatan (AI) dan bahasa dengan keutamaan diberikan kepada pelajar cemerlang termasuk lulusan STPM.

Dalam pada itu, Anwar berkata kehadiran pelajar antarabangsa juga penting dalam usaha menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan global sambil menegaskan kehadiran mereka sama sekali tidak menjadi ancaman kepada peluang pendidikan rakyat tempatan.

“Dia (pelajar antarabangsa) kalau ke sini bayar penuh. Jangan halang mereka masuk, kita perlu penyertaan pelajar luar,” katanya.

Selain itu, beliau berkata kerajaan sentiasa meletakkan pendidikan sebagai bidang utama yang diberikan peruntukan antara tertinggi dalam pembentangan belanjawan setiap tahun bagi menambah baik mutu pendidikan negara.

“Kebanyakan negara (bidang) pertahanan banyak peruntukan. Kita syukur rantau kita aman. Peruntukan paling besar ialah pendidikan sebab ini masa depan kita,” katanya.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan