PUTRAJAYA, 11 Okt (Bernama) -- Peningkatan peruntukan sebanyak 2.6 peratus bagi Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan dimanfaatkan sebaiknya untuk memperkasakan kerajaan tempatan, memperkukuh kesejahteraan rakyat dan memastikan kelestarian bandar.
Menteri berkaitan Nga Kor Ming berkata KPKT menerima peruntukan berjumlah RM6.09 bilion bagi 2026 berbanding RM5.93 bilion tahun ini iaitu peningkatan sebanyak RM154 juta.
"Melalui Belanjawan 2026, KPKT akan memastikan setiap sen yang dibelanjakan memberikan kesan langsung kepada rakyat sama ada di bandar mahupun di desa.
"Kita mahu rakyat hidup selesa, pihak berkuasa tempatan (PBT) lebih berdaya saing dan komuniti terus maju bersama semangat Malaysia MADANI," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Nga berkata Belanjawan 2026 turut memberikan penekanan dalam menegakkan akauntabiliti dan integriti semasa pelaksanaan dasar dan projek bagi mewujudkan keyakinan bahawa kemajuan negara dibina atas asas kepercayaan dan ketelusan.
"Pengagihan peruntukan besar kepada KPKT membuktikan keyakinan Kerajaan MADANI terhadap keupayaan kementerian untuk meneruskan agenda pemerkasaan kesejahteraan rakyat serta memperkukuh persekitaran hidup yang mampan dan inklusif," katanya.
Nga berkata peruntukan Belanjawan 2026 itu memberikan tumpuan kepada empat sektor utama iaitu perumahan, kerajaan tempatan, kesejahteraan komuniti dan perkhidmatan kebombaan.
Beliau berkata sebanyak 12 inisiatif utama telah digariskan antaranya RM143 juta untuk program penyelenggaraan perumahan berstrata awam dan swasta termasuk penyelenggaraan rumah kos rendah dan sederhana serta projek penggantian lif usang.
Katanya sebanyak RM672 juta diperuntukkan bagi program residensi rakyat (PRR) dan rumah mesra rakyat yang memanfaatkan lebih 33,000 penghuni termasuk projek di PRR Ayer Lanas, Jeli di Kelantan dan PRR Masai, Johor.
Inisiatif lain menurutnya, termasuk pelanjutan pengecualian penuh duti setem bagi surat cara pindah milik dan perjanjian pinjaman bagi pembeli rumah pertama berharga sehingga RM500,000 sehingga 31 Dis 2027 untuk memastikan pasaran hartanah kekal berdaya saing serta dapat mengawal kenaikan harga rumah untuk faedah rakyat.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial