Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Program Nostalgia Anak Kampung Perkukuh Perpaduan Nasional

11/10/2025 04:17 PM

KUALA LUMPUR, 11 Okt (Bernama) -- Program Nostalgia Anak Kampung: Temasya Riuh Sekampung anjuran Jabatan Muzium Malaysia (JMM) menjadi platform penting untuk masyarakat pelbagai kaum berkongsi pengalaman, saling mengenali adat dan cara hidup, sekali gus memperkukuh perpaduan nasional.

Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang berkata program itu bukan sahaja menghidupkan semula memori budaya malah turut memperkenalkan generasi muda kepada permainan tradisional, makanan warisan, muzik dan seni rakyat.

“Pemeliharaan budaya bukan sekadar memelihara warisan fizikal seperti bangunan, peralatan atau artifak, ia juga pengekalan nilai, kisah serta semangat yang terkandung di dalamnya supaya warisan itu terus hidup dan relevan dalam arus masa depan.

Ad Banner
Ad Banner

"JMM mempunyai peranan amat strategik kerana muzium tidak lagi boleh dilihat sebagai tempat menyimpan barang lama, tetapi harus menjadi institusi ke hadapan sebagai pusat ilmu, penyelidikan dan inovasi dalam bidang warisan serta identiti kebangsaan,” katanya pada perasmian program itu di Dataran Muzium Negara di sini hari ini. 

Teks ucapan Aaron dibacakan Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Perancangan Strategik) Kementerian Perpaduan Negara Mohamad Sobri Mat Daud.

Turut hadir Ketua Pengarah JMM Datuk Kamarul Baharin A. Kasim, Timbalan Ketua Pengarah (Permuziuman) JMM Mohd Razaimi Hamat dan Pengarah Muzium Negara Zamrul Amri Zakaria. 

Ad Banner

Aaron berkata muzium mesti terus bertransformasi daripada hanya “tempat pameran” kepada ruang pembelajaran hidup yang menghubungkan masa lepas dengan masa depan.

Selain itu, beliau berkata usaha memperluas capaian muzium melalui digitalisasi koleksi, penganjuran program komuniti serta kerjasama strategik dengan sekolah dan universiti perlu terus diperkasakan. 

Pendekatan sedemikian, menurut beliau menjadikan nilai warisan tidak lagi terperangkap di ruang pameran, tetapi dapat dihayati serta dikongsi seluruh lapisan masyarakat dari kampung hingga ke bandar dan daripada generasi lama hingga generasi baharu.

“Pada tahun hadapan saya berharap JMM dapat memperluas pelaksanaan dua program utama iaitu Inspirasi Pelajar Inovasi Muzium (IPIM) dan Bermalam di Muzium kerana dua program ini amat signifikan dalam memupuk minat dan kecintaan generasi muda terhadap warisan bangsa,” katanya.

Aaron berkata kejayaan inisiatif luar negara seperti National Museum of Korea dengan program Seoul Open Night dan Seoul Museum of Art (SeMA) Museum Night yang beroperasi hingga lewat malam, wajar dicontohi JMM bagi menjadikan muzium pusat gaya hidup budaya yang aktif sepanjang tahun.

“Bayangkan muzium di Malaysia menjadi lokasi tayangan dokumentari sejarah pada malam minggu, bengkel seni dan warisan pada hujung minggu atau persembahan muzik tradisional di ruang terbuka muzium. Inilah wajah baharu muzium yang kita impikan. Muzium yang hidup, terbuka dan mesra rakyat,” katanya. 

Program Nostalgia Anak Kampung yang berlangsung tiga hari bermula semalam di Muzium Negara mengangkat tema Temasya Riuh Sekampung, memberi peluang kepada masyarakat menghayati cara hidup masyarakat kampung yang kaya dengan nilai kekeluargaan, semangat perpaduan dan kebersamaan. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan