GEORGE TOWN, 11 Okt (Bernama) -- Kementerian Kerja Raya (KKR) meluluskan peruntukan khas segera berjumlah RM250,000 bagi pemasangan Jambatan Panel Keluli Bermodular (Bailey Bridge) di Jambatan Sungai Derhaka, Permatang Pauh, sebagai langkah mitigasi jangka pendek sebelum pembinaan struktur kekal dilaksanakan.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pengangkutan negeri Zairil Khir Johari, berkata Jabatan Kerja Raya (JKR) Pulau Pinang telah menjalankan siasatan di lokasi pada 24 Sept lepas dan mendapati beberapa kerosakan serius yang menjejaskan integriti struktur serta keselamatan pengguna.
“Antara kerosakan dikenal pasti ialah struktur abutmen yang mendap dan runtuh serta terdapat retakan pada deck slab di bahagian bawah jambatan (soffit). Siasatan susulan oleh Cawangan Senggara Fasiliti Jalan (CSFJ) bersama JKR Pulau Pinang pada 3 Okt mengesahkan jambatan berkenaan tidak lagi selamat digunakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, kerja-kerja pembaikan telah dimulakan pada 8 Okt dan dijangka siap pada 15 Okt ini, dengan panjang jambatan baharu berukuran 12 meter dan lebar 11.2 meter.
Zairil berkata, sepanjang tempoh kerja-kerja pembaikan Jambatan Sungai Derhaka yang dibina sejak 1960 itu, laluan berkenaan akan ditutup sepenuhnya.
“Orang ramai dinasihatkan menggunakan laluan alternatif iaitu Jalan Ampang Jajar atau Permatang Pauh – Jalan Carefour – Jalan Perdana – Jalan Kampung Masjid Timah – Jalan Bukit Minyak. Semua pengguna juga disarankan merancang perjalanan lebih awal dan berhati-hati di laluan tersebut,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial