IPOH, 11 Okt (Bernama) -- Pengekalan Geran Padanan Sukan dan peningkatan 60 peratus peruntukan untuk Program Rakan Muda dalam Belanjawan 2026 disifatkan sebagai komitmen kerajaan dalam membangun sukan negara dan memperkasa golongan belia.
Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata peruntukan RM580 juta kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mencerminkan keyakinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap program pembangunan sukan dan belia negara.
"Kita (KBS) gembira kerana hasrat kita tertunai apabila Geran Padanan Sukan dikekalkan, program Road To Gold juga dapat peningkatan dua juta iaitu RM12 juta berbanding RM10 juta tahun ini.
"Paling signifikan ialah peruntukan program Rakan Muda yang meningkat RM40 juta berbanding tahun lepas kita dapat RM25 juta," katanya kepada pemberita selepas hadir pada Majlis Perasmian Hari Sukan Negara Peringkat Kebangsaan 2025 (HSN2025) di Bulatan Sultan Azlan Shah di sini hari ini.
Terdahulu Perdana Menteri menyempurnakan perasmian tersebut yang turut dihadiri Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Ketika membentang Belanjawan 2026 semalam, Anwar yang juga Menteri Kewangan mengumumkan peruntukan RM580 juta untuk KBS.
Memperinci lebih lanjut Hannah berkata peruntukan Program Rakan Muda antaranya bagi melaksanakan program khas termasuk usaha mengurangkan pengangguran dalam kalangan belia.
"Kita juga kenal pasti kumpulan belia ramai yang tidak fasih bahasa Inggeris, jadi kita akan gunakan peruntukan tambahan yang kita ada untuk kita melengkapkan persiapan dan memperkasakan golongan belia menerusi program bawah Rakan Mahir," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial