Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Belanjawan 2026: Kerajaan MADANI Pastikan Orang Asli, OKU, Bekas Banduan, Pelarian Tidak Terpinggir

10/10/2025 10:54 PM

KUALA LUMPUR, 10 Okt (Bernama) -- Kerajaan MADANI di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim terus menegaskan komitmen untuk memastikan tiada komuniti yang terpinggir, termasuk masyarakat Orang Asli, golongan orang kurang upaya (OKU), bekas banduan dan pelarian, sejajar dengan prinsip Leave No One Behind di bawah Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 2030.

Ketika membentangkan Belanjawan 2026 di dewan rakyat hari ini, Perdana Menteri berkata RM412 juta diperuntukkan bagi memperkasakan komuniti Orang Asli secara menyeluruh, tidak termasuk peruntukan di bawah Bumiputera.

Beliau berkata bagi memperkukuh hak dan kebajikan masyarakat itu, kerajaan akan membentangkan pindaan Akta Orang Asli 1954, selain menambah baik jalan di kampung-kampung Orang Asli dengan kos RM155 juta, termasuk pembinaan jalan baharu di Kampung Batu Peti dan Panchor, Jempol, Negeri Sembilan, serta Kampung Sungai Mai, Jerantut, Pahang.

Ad Banner
Ad Banner

Selain itu, Perdana Menteri berkata premis taman bimbingan kanak-kanak (tabika) di semua kampung Orang Asli akan dinaik taraf dengan peruntukan hampir RM13 juta, termasuk pembinaan empat tabika baharu di Kuala Terbol (Pahang), Tanjung Tuan (Johor), Ulu Kuang (Selangor) dan Taman Desa Kemandol (Selangor).

Anwar berkata bagi menangani isu keciciran pendidikan, kerajaan akan memperluas Program Chup Badui Sikulah iaitu sekolah terapung di Hulu Perak, bagi memberi pendidikan kepada lebih 350 anak-anak Orang Asli.

Perdana Menteri berkata dalam aspek kebajikan OKU, kerajaan memperuntukkan hampir RM1.4 bilion sebagai bantuan kepada OKU kronik terlantar, OKU tiada upaya bekerja dan Elaun Pekerja OKU, serta penyediaan 100 van khas dilengkapi sistem pengangkat kerusi roda bagi meningkatkan mobiliti OKU manakala Pusat Perkhidmatan Autisme (PPA), yang kini beroperasi di Semenanjung akan diperluas ke Labuan, Sabah dan Sarawak bagi memberi manfaat kepada 13,000 individu autisme dan keluarga mereka.

Ad Banner

Beliau berkata kerajaan turut bercadang meningkatkan pelepasan cukai pendapatan individu ke atas perbelanjaan pemeriksaan dan pengesanan, intervensi awal serta rawatan anak kurang upaya bawah 18 tahun daripada RM6,000 kepada RM10,000.

Sementara itu, Anwar berkata melalui Dasar Peluang Kedua, kerajaan terus memberi ruang kepada rakyat yang ingin bangkit semula daripada kesukaran hidup dan hasilnya, 200,000 rakyat bebas daripada belenggu bankrap sejak Mac 2023.

“Bagi membela ibu bapa tunggal yang menanggung anak anak, usahawan mikro yang terkesan krisis, mangsa scam serta mangsa projek terbengkalai, Dasar Peluang Kedua Fast Track diperkenalkan untuk mempercepat proses melalui kaedah lebih ringkas dan bersasar,” kata beliau.

Anwar berkata RM15 juta turut diperuntukkan untuk memperkasakan Program Peluang Kedua untuk manfaat 1,700 bekas penagih dadah, serta 3,000 bekas banduan wanita yang tidak mendapat sokongan keluarga melalui pemberian insentif mula niaga bagi memulakan semula kehidupan.

Dalam pada itu, beliau berkata atas dasar kemanusiaan, kerajaan memperuntukkan RM10 juta untuk Program Dokumen Pendaftaran Pelarian, selain menaik taraf tiga Depot Tahanan Imigresen dan tiga Baitul Mahabbah, sebagai Pusat Pengasingan Khas Pelarian dan Pemohon Suaka Dewasa dan Kanak-kanak.

Belanjawan yang mengangkat tema “Belanjawan MADANI Keempat: Belanjawan Rakyat” itu merupakan edisi keempat dalam siri Belanjawan MADANI dan yang pertama di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) 2026-2030.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan