KUALA LUMPUR, 10 Okt (Bernama) -- Peruntukan RM20 juta dalam Belanjawan 2026 bagi menambah tapak dan ruang niaga untuk peniaga kecil Tamu Desa di Sabah dan Sarawak dapat membantu menjayakan hasrat usahawan tempatan memiliki kemudahan perniagaan yang lebih baik.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata peruntukan itu mencerminkan komitmen kerajaan dalam merealisasikan permintaan usahawan Tamu Desa di kedua-dua negeri itu untuk menaik taraf tapak dan ruang niaga dengan kemudahan asas yang lebih lengkap.
“Selain daripada RM20 juta, Sabah dan Sarawak dalam belanjawan ini juga mendapat banyak perhatian. Sabah misalnya RM6.9 bilion peruntukan. Itu yang tertinggi dalam sejarah belanjawan negara setakat ini,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.
Selain itu, beliau berkata cadangan kerajaan untuk memberikan potongan cukai tambahan 50 peratus kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) bagi perbelanjaan kos latihan yang berkaitan kecerdasan buatan (AI) serta keselamatan akan menjadi pemangkin kepada pembudayaan AI dalam kalangan usahawan PMKS.
Ewon berharap insentif potongan cukai berkenaan dapat meningkatkan inovasi serta teknologi dalam kalangan PMKS, dan belanjawan kali ini juga mencerminkan kemampanan fiskal susulan reformasi fiskal yang dilakukan termasuk reformasi subsidi yang kali pertama dilaksanakan kerajaan.
“Kalau kita melihat khusus kepada sektor PMKS, begitu banyak sokongan yang telah disediakan dalam belanjawan ini ... bukan hanya mewakili kementerian tetapi mewakili komuniti PMKS, penjaja dan peniaga kecil, koperasi, usahawan francais.
“… kita mengucapkan jutaan penghargaan kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) atas dedikasi, komitmen dan kebersamaan beliau dengan kami di KUSKOP (Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi) untuk membangunkan komuniti MADANI ini,” katanya.
Belanjawan 2026 bertemakan ‘Belanjawan Rakyat’ memperuntukkan RM470 bilion perbelanjaan awam, merangkumi RM338.2 bilion perbelanjaan mengurus dan RM81 bilion pembangunan, selain pelaburan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (RM30 bilion), awam swasta (RM10 bilion) serta Badan Berkanun Persekutuan dan Syarikat Menteri Kewangan Diperbadankan (RM10.8 bilion).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial