KUALA LUMPUR, 10 Okt (Bernama) -- Beberapa cadangan utama Kementerian Pengangkutan (MoT) telah diterima dan dimasukkan dalam pembentangan Belanjawan 2026, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.
Beliau berkata antara inisiatif yang diumumkan termasuk insentif pemasangan peranti had kelajuan (SLD) bagi kenderaan berat, geran padanan untuk pemilik kenderaan lama serta insentif bebas cukai kepada pemilik teksi.
“Saya berterima kasih kepada Kementerian Kewangan (MoF) kerana beberapa input daripada MoT telah diterima dan dibentangkan,” katanya pada sidang media selepas pembentangan Belanjawan 2026 di lobi Parlimen hari ini.
Loke berkata beberapa inisiatif lain yang memberi manfaat kepada pengguna pengangkutan awam turut diteruskan dalam Belanjawan 2026 termasuk pas My50 di Lembah Klang, bantuan tiket penerbangan pelajar dari Sabah dan Sarawak serta had tambang maksimum semasa musim perayaan.
Pada masa sama, beliau menyifatkan Belanjawan 2026 sebagai satu pencapaian penting kerajaan dalam mengurus kewangan negara secara berhemat, hasil daripada pelaksanaan langkah rasionalisasi subsidi sebelum ini.
Beliau berkata langkah rasionalisasi subsidi yang dilaksanakan dua tahun lepas menunjukkan hasil positif sehingga membolehkan hasil yang diperoleh daripada penjimatan dikembalikan semula kepada rakyat dalam bentuk pelbagai bantuan.
“Saya melihat pembentangan Belanjawan 2026 sebagai satu kejayaan awal Kerajaan MADANI dalam mengurus kewangan negara dengan baik. Ini menunjukkan keberkesanan langkah rasionalisasi subsidi yang dilakukan dua tahun lepas melibatkan diesel, ayam, telur, elektrik dan RON95,” katanya.
Beliau berkata penjimatan hasil daripada rasionalisasi itu juga disalurkan semula kepada rakyat menerusi bantuan seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Bantuan Sara Bulanan.
“Sebanyak 22 juta rakyat Malaysia akan menerima Bantuan Sara Bulanan menjelang Tahun Baru Cina dan Ramadan pada Februari nanti, satu ‘kejutan’ daripada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tidak dibincangkan dalam mesyuarat kabinet pagi tadi.
“Ini membuktikan bahawa apabila kerajaan berjimat, hasilnya dikembalikan kepada rakyat, satu kejayaan besar dalam konsolidasi fiskal. Syabas kepada Kementerian Kewangan atas kejayaan ini,” katanya.
Belanjawan 2026 bertemakan ‘Belanjawan MADANI Keempat: Belanjawan Rakyat’ akan mengumpul dan mengoptimum sumber negara termasuk dana syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), Badan Berkanun Persekutuan dan Syarikat Menteri Kewangan (Diperbadankan) (MKD) melalui perbelanjaan awam berjumlah RM470 bilion berbanding RM452 bilion tahun lepas.
Anwar ketika membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat hari ini berkata ia meliputi RM338.2 bilion perbelanjaan mengurus (OE) Persekutuan dan RM81 bilion perbelanjaan pembangunan (DE) Persekutuan serta RM30 bilion pelaburan GLIC, pelaburan awam-swasta (RM10 bilion) dan pelaburan Badan Berkanun Persekutuan dan Syarikat MKD (RM10.8 bilion).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial