KUALA LUMPUR, 10 Okt (Bernama) -- Peruntukan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) meningkat kepada RM15 bilion pada Belanjawan 2026, berbanding RM13 bilion pada 2025 yang memberi manfaat kepada sembilan juta penerima.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan belanjawan bertemakan “Belanjawan MADANI Keempat, Belanjawan Rakyat” berkata berkata peningkatan itu adalah hasil penjimatan yang diraih daripada penyasaran subsidi seperti diesel dan RON95.
"Sukacita diumumkan bagi 2026, semua sembilan juta penerima STR turut menerima SARA hingga RM100 setiap bulan atau RM1,200 setahun.
“...manakala satu juta penerima STR di bawah e-Kasih menerima SARA hingga RM200 sebulan atau RM2,400 setahun dan kategori bujang menerima RM600 iaitu RM50 sebulan melalui SARA,” kata Anwar yang juga Menteri Kewangan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata kadar maksimum diterima isi rumah ialah RM4,600 iaitu bagi pendapatan di bawah RM2,500 sebulan, dengan lima anak menerima STR sebanyak RM2,200 dan SARA RM2,400.
Berdasarkan rekod bantuan STR dan SARA, Anwar berkata untuk kaum Melayu meningkat kepada RM7.1 bilion pada 2025 berbanding RM4.5 bilion pada 2022; Bumiputera Sabah dan Sarawak (meningkat RM1.9 bilion berbanding RM1.1 bilion); dan kaum India (meningkat RM1 bilion berbanding RM0.6 bilion)
Sementara itu, Anwar berkata 22 juta rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas sekali lagi akan menerima penghargaan SARA RM100, dan akan disalurkan pada pertengahan Februari yang boleh dimanfaatkan untuk persiapan Ramadan serta sambutan Tahun Baharu Cina.
“Pada 31 Ogos lepas, semua rakyat 18 tahun ke atas mendapat RM100 SARA dan lebih 70 peratus telah dibelanjakan dan sepertimana janji, baki SARA yang tidak digunakan menjelang Disember akan diagih semula untuk program rakyat susah,” kata beliau.
Selain itu, Anwar berkata bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat terus disalurkan kepada lebih 560,000 penerima dengan peruntukan RM3.1 bilion berbanding RM2.9 bilion.
Bagi Jualan RAHMAH pula, sebanyak RM1 bilion disediakan untuk tahun depan bagi menangani kos sara hidup termasuk RM600 juta bagi memperbanyak program Payung RAHMAH di semua kawasan Dewan Undangan Negeri seluruh negara.
Perdana Menteri berkata buat kali pertama dalam sejarah, kadar kemiskinan tegar negara menyusut ke paras hampir sifar iaitu hanya 0.09 peratus berbanding 0.2 peratus, atau sekitar 7,000 isi rumah seluruh negara.
“Ini kerana kita menggunakan PGK (Pendapatan Garis Kemiskinan) Makanan 2022 iaitu RM1,198 sebelum ini.
“Susulan kenaikan PGK Makanan 2024 kepada RM1,236, insya-Allah baki 7,000 miskin tegar dinoktahkan sebelum akhir tahun ini,” kata Anwar.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial