KUALA LUMPUR, 10 Okt (Bernama) -- Kerajaan bercadang untuk memperluaskan pelepasan cukai pendapatan individu sebanyak RM3,000 ke atas perbelanjaan yuran pusat jagaan harian atau pusat transit berdaftar bagi anak-anak berumur sehingga 12 tahun, berkuat kuasa mulai tahun taksiran 2026, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata sebelum ini pelepasan cukai hanya diberikan bagi yuran taman asuhan atau taman didikan kanak-kanak untuk anak-anak berumur sehingga enam tahun sahaja.
Dalam pada itu, Anwar turut memaklumkan bahawa penyertaan wanita dalam kepimpinan korporat menunjukkan perkembangan yang memberangsangkan, dengan 45 peratus syarikat tersenarai awam kini memenuhi syarat sekurang-kurangnya 30 peratus ahli lembaga pengarah wanita, setakat 1 Okt.
“Namun, masih terdapat lapan syarikat yang belum mempunyai ahli lembaga wanita. Justeru, Suruhanjaya Sekuriti akan mempergiat usaha bagi meningkatkan penyertaan wanita dalam kepimpinan urus tadbir korporat,” katanya.
Anwar juga mengumumkan bahawa Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) akan menyediakan RM230 juta tambahan bagi meneruskan pembiayaan kepada usahawan mikro, menjadikan jumlah keseluruhan dana AIM yang tersedia mencecah RM2.9 bilion, yang akan memberi manfaat kepada lebih 300,000 usahawan, majoritinya wanita.
Perdana Menteri turut memuji prestasi pembayaran balik AIM yang menunjukkan rekod cemerlang, khususnya dalam kalangan wanita.
“Prestasi bayaran balik AIM amat cemerlang, terutamanya wanita yang mencatat kadar bayaran balik sebanyak 99.97 peratus, lelaki kurang sedikit,” katanya.
Sementara itu, Bank Rakyat, Bank Simpanan Nasional (BSN), MARA, dan SME Bank akan menyediakan pembiayaan berjumlah RM270 juta untuk menyokong usahawan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) wanita.
Bagi membela golongan ibu tunggal miskin, Anwar memaklumkan bahawa kerajaan akan membantu seramai 5,000 ibu tunggal yang memerlukan bantuan guaman bagi menyelesaikan kes-kes mahkamah seperti perceraian dan hak penjagaan anak.
Anwar turut mengumumkan bahawa, bermula tahun hadapan, had umur belia akan diselaraskan kepada 15 hingga 30 tahun, bagi memastikan penyertaan dan sumbangan golongan ini kepada pembangunan negara lebih terarah dan berkesan.
Beliau berkata, kerajaan akan memperkenalkan semula Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) bermula tahun 2026 dengan peruntukan sebanyak RM250 juta, termasuk pelaksanaan secara rintis di institusi pendidikan tinggi sebelum pelaksanaan sepenuhnya pada 2027.
Bagi meningkatkan kebolehpasaran siswazah, Anwar berkata Khazanah menyediakan RM200 juta bagi Program K-Youth yang akan memberi latihan sambil bekerja kepada 11,000 belia tanpa ijazah dalam sektor strategik seperti semikonduktor, jentera, MRO, digital dan teknologi.
“Industrial Boot Camp (IBC) MARA berjaya melatih hampir 5,000 peserta dengan jaminan pekerjaan. Hampir RM30 juta disediakan bagi meneruskan manfaat IBC.
Program Rakan Muda turut menerima RM40 juta, antaranya untuk menjayakan inisiatif mendekati belia di kawasan desa yang tercicir dan terpinggir daripada pendidikan serta peluang pekerjaan.
Dalam usaha menggalakkan penyertaan anak muda dalam bidang keusahawanan, BSN menyediakan RM150 juta pembiayaan kepada usahawan belia berumur 30 tahun ke bawah. Selain itu, Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) di bawah SME Corp turut diperuntukkan RM12 juta bagi latihan dan bantuan perniagaan.
Kerajaan juga akan terus menanggung bayaran bagi mendapatkan lesen motosikal kelas B2 bagi belia kurang berkemampuan, sebagai sokongan kepada mereka yang ingin menceburi sektor perkhidmatan penghantaran.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial