Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

NFCC Bentang Draf Pindaan Akta 822 Kepada Kabinet Jan Tahun Depan - TKP

10/10/2025 04:40 PM

PARIT, 10 Okt (Bernama) -- Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) akan membentangkan draf pindaan Akta NFCC 2019 (Akta 822) kepada Jemaah Menteri pada Januari tahun depan, antaranya bertujuan menyelaras pengurusan harta disita dan dilucut hak di peringkat nasional.

Timbalan Ketua Pengarah NFCC Ahmad Sazilee Abdul Khairi berkata ketika ini pengurusan aset sitaan dilaksana secara berasingan oleh setiap agensi penguat kuasa mengikut bidang kuasa masing-masing tanpa satu penyelarasan pusat.

“Ketiadaan sistem kawalan berpusat menyebabkan sebahagian aset sitaan kerajaan tidak diurus secara optimum, malah ada yang dilupuskan sebagai besi buruk walaupun berpotensi menyumbang hasil lebih tinggi jika diurus secara sistematik.

Ad Banner
Ad Banner

“Apabila NFCC diberi mandat sebagai agensi pusat, aset sitaan seperti kenderaan boleh dinilai semula, dipulihkan dan dijual mengikut nilai pasaran sewajarnya, bukan dilupuskan terus tanpa pulangan memadai kepada kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Majlis Penyerahan Kampung Angkat MADANI (Kampung Tanjung Ara) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Iskandar Shah di sini hari ini.

Ahmad Sazilee berkata NFCC akan melaksanakan projek rintis dengan beberapa agensi kerajaan sebagai persediaan awal jika pindaan akta berkenaan diluluskan.

Ad Banner

“Kita yakin cadangan pindaan itu akan mendapat sokongan kerana objektif utamanya adalah memperkemas tadbir urus aset negara, mengelakkan pembaziran dan memastikan aset sitaan tidak lagi terbiar tanpa nilai,” katanya.

Terdahulu, Ahmad Sazilee mewakili Ketua Pengarah NFCC Datuk Seri Shamshun Baharin Mohd Jamil merasmikan majlis Kampung Angkat MADANI tersebut yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan negeri Khairuddin Abu Hanipah.

Beliau berkata di bawah program itu sebanyak RM1 juta diperuntukkan bagi kerja-kerja naik taraf serta pembaikan kemudahan asas di sekitar Kampung Tanjung Ara di bawah program itu.

“Peruntukan yang disediakan kerajaan akan digunakan untuk projek naik taraf masjid, sekolah serta penurapan beberapa laluan kampung bagi memastikan penduduk menikmati kemudahan asas yang lebih selesa untuk kegunaan harian,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan