Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

LZS Lancar Kempen Anda Hero Asnaf, Galak ATM Bayar Zakat

09/10/2025 10:39 PM

SHAH ALAM, 9 Okt (Bernama) -- Lembaga Zakat Selangor (LZS) hari ini melancarkan kempen berimpak tinggi Anda Hero Asnaf bagi memperkasakan kesedaran dan pelaksanaan zakat dalam kalangan 3,718 anggota dan pegawai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di seluruh negeri ini.

Ketua Pegawai Eksekutif LZS Mohd Khaidzir Shahari berkata menerusi inisiatif sama, pihaknya menyasarkan ATM menerima pulangan wakalah majikan berjumlah RM125,000 selepas data 2024 mencatat kutipan yang memberangsangkan.

"Tahun lepas LZS berjaya mengutip zakat berjumlah RM425,000 dalam kalangan warga ATM melalui skim potongan gaji membabitkan 393 anggota dan pegawai dengan pulangan wakalah majikan berjumlah RM53,000. Wang berkenaan dimanfaatkan sepenuhnya untuk kebajikan dan kesejahteraan ATM.

Ad Banner
Ad Banner

"Melangkah ke 2026, LZS menyasarkan kutipan sebanyak RM1 juta dengan jangkaan wakalah majikan mencecah RM125,000. Ini adalah bukti bahawa zakat bukan beban, tetapi kekuatan untuk memberi serta melindungi mereka yang memerlukan," katanya dalam Program Taklimat Khas Zakat Bersama ATM Selangor di sini hari ini.

Mohd Khaidzir berkata inisiatif itu merupakan hasil kerjasama strategik antara pihaknya dengan Kor Agama Angkatan Tentera Malaysia (KAGAT) sebagai satu langkah proaktif ke arah menyuburkan keberkatan dalam institusi pertahanan negara.

Beliau berkata beberapa komponen utama akan ditekankan termasuk KAGAT dan LZS masing-masing tampil sebagai rakan strategik menyampaikan kefahaman zakat serta sokongan menyeluruh bermula daripada peringkat platform kutipan, khidmat nasihat sehingga potongan gaji.

Ad Banner

"Saya percaya sasaran RM1 juta itu bukanlah sesuatu yang mustahil sekiranya pencarum sedia ada meningkatkan lagi jumlah caruman termasuk warga ATM yang sebelum ini membayar zakat di negeri lain mula menyalurkan zakat di Selangor.

"Sebagaimana ATM menjadi benteng pertahanan negara, zakat pula ialah benteng kebajikan masyarakat. Gabungan dua kekuatan ini akan melahirkan satu pasukan yang bukan sahaja menjaga keselamatan tanah air, malah memastikan tiada yang terpinggir dalam komuniti kita," katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah KAGAT Mejar Jeneral Datuk Mohd Rashidi Bujai berkata pihaknya menyambut baik inisiatif LZS menyediakan ruang kepada warga ATM membina jati diri, menyuburkan kesedaran sosial dan menyemai keinsafan rohani menerusi bayaran zakat.

"Ada dalam kalangan ATM yang culas dalam keadaan tidak sedar ketika menjalankan tugas, oleh itu inisiatif LZS seperti Anda Hero Asnaf telah membuka peluang kepada kita (ATM) untuk menyucikan diri dan harta dengan telus, sistematik dan konsisten.

"Bagi 393 anggota dan pegawai yang telah mencarum serendah RM10 setiap bulan sebelum ini, anda digalakkan untuk meningkatkan jumlah caruman berkenaan pada masa akan datang, namun tiada paksaan, bergantung pada kemampuan masing-masing," katanya.

Terdahulu, acara yang berlangsung di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah itu turut dihadiri lebih 400 anggota dan pegawai ATM dari seluruh Selangor yang mendengar taklimat Anda Hero Asnaf dan beberapa acara pengisian kerohanian sebelum membuat pendaftaran di bawah program berkenaan.

Kempen ini turut memperkenalkan dua kategori penyertaan bagi memberikan pilihan, iaitu Wira Prihatin dengan sumbangan serendah RM10 sebulan dan Wira Harapan dengan sumbangan RM50 sebulan.

Setiap peserta layak menerima keistimewaan seperti sumbangan Siddik dan Khairat, cenderamata eksklusif LZS serta peluang penyertaan dalam cabutan bertuah tahunan dan kempen khas ATM. 

Dalam masa sama, peserta juga akan didaftarkan sebagai ahli Muzakki Circle selain menikmati rebat cukai individu 100 peratus.

-- BERNAMA


 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan