Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Pelan Gencatan Senjata AS Ringankan Derita Rakyat Gaza - Kaukus

09/10/2025 07:06 PM

KUALA LUMPUR, 9 Okt (Bernama) -- Fasa pertama pelan gencatan senjata Gaza oleh Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump langkah penting ke arah memulihkan kestabilan dan meringankan penderitaan rakyat Palestin di Gaza, menurut Kaukus Palestin Parlimen Malaysia.

Pengerusinya Syed Ibrahim Syed Noh berkata kaukus itu juga mengalu-alukan penerimaan Hamas terhadap cadangan itu yang dilihat sebagai perkembangan positif bagi mencapai gencatan senjata menyeluruh di Gaza.

"Perjanjian itu merangkumi penarikan balik pendudukan, kemasukan bantuan kemanusiaan serta pertukaran tahanan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Ad Banner
Ad Banner

Beliau berkata seiring dengan pendirian Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, perkembangan itu membuka peluang penting untuk menamatkan keganasan, penindasan dan ketidakadilan yang sekian lama dialami rakyat Palestin, selain mengorak langkah ke arah keamanan berkekalan di rantau berkenaan.

Syed Ibrahim berkata kaukus menegaskan komitmen berterusan Malaysia terhadap perjuangan rakyat Palestin bagi penentuan nasib sendiri dan keadilan, serta menghargai usaha diplomatik kerajaan dalam memperkukuh solidariti antarabangsa terhadap isu itu.

"Kaukus turut menggesa supaya kerajaan terus terlibat secara aktif dalam semua usaha antarabangsa dan serantau bagi mencapai penyelesaian yang adil dan segera terhadap konflik itu," katanya.

Ad Banner

Kaukus turut menyeru kedua-dua pihak, khususnya Israel supaya tidak melakukan tindakan yang boleh menggugat proses damai atau menambah penderitaan rakyat Palestin.

"Sebagai Ahli Parlimen, kami berdiri teguh menyokong segala usaha yang menjunjung prinsip keamanan, keadilan dan kemanusiaan, serta menegaskan sokongan tidak berbelah bahagi terhadap rundingan damai yang sedang berlangsung dan hak sah rakyat Palestin," katanya.

Hamas sebelum ini mengumumkan bahawa satu perjanjian telah dicapai yang merangkumi penamatan perang di Gaza, pengunduran pasukan pendudukan, kemasukan bantuan kemanusiaan dan pertukaran tahanan.

Kenyataan kumpulan itu dibuat sejurus selepas Trump mengumumkan pada Rabu bahawa Israel dan Hamas bersetuju fasa pertama pelan damai Gaza yang dicadangkan oleh Washington.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan