Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Yayasan Eco World Sumbang Kapsul Ilmu, Perkasa Pembelajaran Interaktif

09/10/2025 04:31 PM

KUALA SELANGOR, 9 Okt (Bernama) -- Yayasan Eco World hari ini menyerahkan sebuah mini perpustakaan dikenali Kapsul Ilmu kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT)  Bestari Jaya di sini, sebagai sebahagian komitmen berterusan memperkasakan pendidikan melalui kemudahan pembelajaran moden, kondusif dan interaktif.

Pengerusi Yayasan Eco World Tan Sri Lee Lam Thye berkata Kapsul Ilmu sumbangan Eco Ardence itu, sebuah projek di bawah Eco World, berfungsi sebagai pusat pembelajaran dan ruang aktiviti untuk memupuk minat membaca serta pembelajaran interaktif di sekolah.

“Kapsul Ilmu ini bukan sekadar sebuah perpustakaan, ia melambangkan komitmen berterusan kami untuk memupuk minda muda serta memperkukuh sekolah-sekolah yang kami sokong di bawah Program Bantuan Pelajar. 

Ad Banner
Ad Banner

“Selain memberikan bantuan kewangan, kami juga berusaha mewujudkan persekitaran pembelajaran yang mampu menginspirasikan kreativiti, kolaborasi dan rasa ingin tahu,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Kapsul Ilmu (Multipurpose Kiosk) di SJKT Bestari Jaya di sini hari ini. 

Turut hadir Pemegang Amanah Yayasan Eco World Tan Sri Mohd Radzi Sheikh Ahmad dan Philip Mathews; Ketua Pegawai Eksekutif Eco World Development Group Bhd Datuk Chang Khim Wah serta Guru Besar SJKT Bestari Jaya D. Pennarasi.

Lee berkata mini perpustakaan itu disiapkan dalam tempoh tiga minggu dengan kos RM42,000, menjadikannya Kapsul Ilmu keempat diserahkan syarikat itu, selain tiga lagi yang telah dibina di sekolah lain, dengan jumlah pelaburan keseluruhan RM204,000.

Ad Banner

Dilengkapi pendingin hawa, reka bentuk terbuka, kemudahan tempat duduk lantai serta perabot ringkas, Kapsul Ilmu turut menyediakan ruang santai untuk guru berbincang dan berkongsi idea, seterusnya menggalakkan budaya kolaborasi di sekolah.

Terletak di laman hijau SJKT Bestari Jaya, ruang ilmu itu berfungsi sebagai pusat aktiviti luar bilik darjah yang meriah sekali gus mengeratkan hubungan antara pelajar, guru, komuniti dan penaja melalui semangat pembelajaran bersama.

Selain itu, Lee berkata mini perpustakaan berkenaan turut dilengkapi akses Internet bagi memudahkan pembelajaran digital dan literasi kecerdasan buatan (AI), membolehkan pelajar menyiapkan tugasan berasaskan komputer, meneroka permainan pendidikan seperti Kahoot, Duolingo dan Prodigy Math, serta merekod kemajuan bacaan mereka melalui Advanced Integrated Nilam System (AINS).

Lee berharap para pelajar dapat memanfaatkan sepenuhnya Kapsul Ilmu itu serta menghargai kemudahan yang disediakan, sambil menekankan pentingnya penjagaan rapi supaya generasi pelajar akan datang turut mendapat manfaat daripada sumbangan berkenaan.

SJKT Bestari Jaya ialah sebuah sekolah di bawah Program Bantuan Pelajar (SAP) Yayasan Eco World, dan 32 murid kini menerima sokongan dan bantuan seperti pakaian seragam sekolah serta buku.

Di seluruh negara, program itu membantu kira-kira 2,000 murid setiap tahun, menggambarkan komitmen berterusan yayasan untuk membantu kanak-kanak kurang berkemampuan terus bersekolah dan mencapai potensi sepenuhnya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan