Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

PFMI Lancar Pusat Operasi Kecerdasan Berasaskan Metaverse Pertama Malaysia

08/10/2025 04:26 PM

SHAH ALAM, 8 Okt (Bernama) -- PKNS FM Integrated Sdn Bhd (PFMI), anak syarikat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) hari ini, melancarkan Pusat Operasi Kecerdasan (IOC) Berasaskan Metaverse (Metaverse IOC) pertama negara pada Persidangan Ekonomi Digital Selangor (SDEC) 2025. 

Persidangan empat hari bermula hari ini di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur dan Hotel Grand Hyatt Kuala Lumpur yang bertemakan Pioneering the Future of Digital Innovation menghimpunkan peserta daripada sektor kerajaan, industri dan ahli akademik untuk membincangkan kemajuan teknologi digital generasi akan datang.

Ketua Pegawai Eksekutif PFMI Shamshul Bahari Ahmad berkata penubuhan Metaverse IOC mencerminkan kepimpinan Selangor dalam memacu transformasi digital dan pertumbuhan mampan. 

Ad Banner
Ad Banner

“Inisiatif ini merupakan pencapaian membanggakan untuk Selangor. Dengan memanfaatkan perniagaan teras kami dalam pengurusan fasiliti dan pembangunan projek serta menggabungkannya dengan teknologi digital termaju, kami mewujudkan penyelesaian bersifat praktikal dan berwawasan. 

“PFMI Metaverse IOC memperlihatkan bagaimana Selangor boleh menerajui tadbir urus pintar dan memastikan setiap inovasi dibangunkan mempunyai aplikasi dunia sebenar untuk negeri dan rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Dibangunkan dengan sokongan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) di bawah Brand Metaverse Onboarding Programme 2024, IOC itu mengintegrasikan kecerdasan buatan (AI), internet benda (IoT), analitik data, kecerdasan video, pengvisualan 3D ke platform digital berpusat. 

Ad Banner

Menerusi sistem imersif ini, kemudahan data, aliran kerja penyelenggaraan dan kitar hayat projek dapat divisualkan serta diuruskan dalam masa nyata, sekali gus mempertingkatkan keupayaan membuat keputusan, menambah baik tindak balas krisis dan mengurangkan ketidakcekapan operasi.

Inisiatif itu juga memperkasakan agenda ekonomi digital Malaysia, memperkukuh amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dan meletakkan Selangor sebagai negeri pertama merintis penyelesaian kecerdasan imersif. 

PFMI Metaverse IOC akan dipamerkan sepanjang SDEC 2025, memberikan peserta pengalaman bagaimana transformasi digital mampu meningkatkan pengurusan kemudahan tradisional ke era baharu pembuatan keputusan berasaskan data masa nyata. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan