Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Belanjawan 2026: Perkasakan Sektor Swasta Supaya Utamakan Kebajikan Tenaga Kerja - Lee

08/10/2025 10:55 AM

KUALA LUMPUR, 8 Okt (Bernama) -- Dalam persiapan menjelang pembentangan Belanjawan 2026, Malaysia mesti mengutamakan kebajikan tenaga kerja dengan memperkasakan sektor swasta agar menitikberatkan keselamatan pekerjaan, kesihatan dan kesejahteraan mental sebagai asas kepada produktiviti dan kemampanan.

Pengerusi Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat Tan Sri Lee Lam Thye berkata landskap pascapandemik telah menyerlahkan keperluan mendesak untuk mewujudkan tempat kerja yang berdaya tahan dan mampu melindungi kesihatan fizikal serta psikologi.

“Belanjawan 2026 merupakan peluang yang tepat pada masanya untuk merangsang transformasi ini melalui langkah fiskal yang disasarkan serta sokongan dasar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ad Banner
Ad Banner

Lee berkata beberapa insentif cukai dicadangkan bagi menggalakkan pelaburan proaktif dalam keselamatan tempat kerja dan kesihatan mental, termasuk Elaun Modal Dipercepatkan (ACA) untuk syarikat yang melabur dalam peralatan ergonomik, sistem keselamatan, serta infrastruktur kesihatan mental seperti bilik senyap, wellness pods atau platform terapi digital.

Beliau berkata potongan cukai berganda turut dicadangkan bagi perbelanjaan berkaitan program latihan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSH) yang diperakui, kempen kesedaran kesihatan mental, program bantuan pekerja, pengambilan pegawai OSH bertauliah atau kaunselor tempat kerja, serta pengurangan duti import bagi pembelian peralatan perlindungan diri yang tidak terdapat dalam negara.

“Pelepasan khas seharusnya diberikan kepada perusahaan kecil dan sederhana yang melaksanakan piawaian asas OSH atau mekanisme sokongan kesihatan mental dengan mengambil kira keterbatasan sumber mereka,” katanya.

Ad Banner

Lee turut mencadangkan insentif cukai bagi inisiatif kesihatan pencegahan, termasuk saringan kesihatan tahunan, penilaian tahap tekanan dan program pencegahan kelesuan melampau dalam kalangan pekerja.

Beliau berkata selain insentif cukai, Belanjawan 2026 boleh memperkenalkan inisiatif pelengkap untuk memupuk budaya keselamatan dan kesejahteraan, seperti pemberian geran padanan kepada syarikat yang mengamalkan pensijilan OSH yang diiktiraf antarabangsa seperti ISO 45001 atau rangka kerja kesihatan mental yang telah ditetapkan.

Langkah-langkah lain yang dicadangkan termasuk memperkenalkan Dana Inovasi OSH Kebangsaan bagi menyokong penyelidikan dan pembangunan dalam teknologi keselamatan, peranti pemantauan kesihatan sesuai dipakai dan penilaian risiko berasaskan AI, serta menggalakkan kerjasama awam-swasta untuk membangunkan modul latihan, set peralatan dan platform digital bagi literasi kesihatan mental dan pencegahan bahaya.

Lee juga menggesa supaya pelaporan dan penanda aras diwajibkan untuk menggalakkan pendedahan sukarela metrik OSH dan kesihatan mental, dengan insentif diberikan kepada syarikat yang berprestasi terbaik.

Selain itu, beliau mencadangkan program pengiktirafan untuk menubuhkan anugerah kebangsaan bagi majikan contoh dalam bidang OSH dan kesejahteraan mental.

“Belanjawan 2026 mesti mencerminkan komitmen bersama kita untuk membina tempat kerja yang berperikemanusiaan, selamat dan bersedia untuk menghadapi masa depan.

“Dengan memberi insentif kepada sektor swasta untuk menerajui bidang ini, kita bukan sahaja melindungi nyawa, malah dapat meningkatkan penglibatan pekerja, mengurangkan ketidakhadiran serta memperkukuh daya tahan ekonomi,” katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan dijadualkan membentangkan Belanjawan 2026 di Parlimen Jumaat ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan