Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

MEXCOE Tangani Cabaran Alam Sekitar

07/10/2025 08:51 PM

KUALA LUMPUR, 7 Okt (Bernama) -- Kerajaan menyokong aspirasi Malaysia ke arah ekonomi kitaran yang lebih mesra alam dan lestari, dengan menggalakkan penggunaan baja organik yang dihasilkan daripada biopepejal, iaitu produk hiliran daripada loji rawatan kumbahan awam yang diuruskan Indah Water Konsortium Sdn Bhd.

Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) dalam kenyataan hari ini memaklumkan bahawa, baja organik tersebut akan digunakan untuk tanaman bukan makanan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) terpilih sebagai langkah permulaan, sebelum penggunaannya diperluas secara berperingkat.

Komitmen itu diputuskan dalam Mesyuarat Menteri-Menteri Alam Sekitar dan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang Bertanggungjawab Mengenai Alam Sekitar (MEXCOE) Bilangan 2 Tahun 2025 semalam, yang dipengerusikan Menteri Perladangan dan Komoditi yang memangku portfolio Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Ad Banner
Ad Banner

“Pada masa yang sama, Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah melaksanakan Perintah Kualiti Alam Sekeliling (Perwakilan Kuasa Kepada Jabatan Kerajaan, Pihak Berkuasa Tempatan dan Perbadanan) 2025, yang diwartakan pada 7 Julai 2025 dan mula berkuat kuasa pada 8 Julai 2025,” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan NRES, perintah tersebut digubal bagi memperkukuh, memperkasakan dan menyelaras semula enam perintah perwakilan kuasa sedia ada, dengan mengambil kira pertambahan dan perluasan perwakilan kuasa daripada peringkat penyiasatan sehingga ke peringkat tindakan susulan penguatkuasaan, termasuk pengeluaran tawaran kompaun dan pendakwaan kes.

Penggubalan baharu itu, diharap dapat menggandakan usaha JAS dalam menguatkuasakan Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS) 1974, seterusnya menggembleng tenaga dalam memerangi jenayah alam sekitar.

Ad Banner

Sementara itu, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, Kementerian Sumber Manusia memaklumkan mengenai penerbitan Guidelines for Asbestos Removal 2017 yang menjadi rujukan utama bagi memastikan kerja-kerja pembuangan, pengendalian dan pelupusan asbestos di Malaysia dijalankan secara selamat dan sihat.

“Garis panduan ini amat penting untuk dipatuhi oleh semua pihak yang terlibat, bagi mengawal pendedahan kepada gentian asbestos yang terlepas ke udara semasa aktiviti pembuangan, yang boleh menyebabkan penyakit serius dan kronik serta memberi kesan jangka panjang terhadap kesihatan pekerja dan orang awam,” menurut kenyataan itu.

Selain itu, Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (NAHRIM) sedang membangunkan teknologi peranti (sensor) yang boleh diguna pakai oleh agensi teknikal pada peringkat negeri, bagi memantau efluen daripada aktiviti pembalakan, perlombongan, pengkuarian, perladangan serta pembangunan, dan teknologi berkenaan membolehkan pemantauan berterusan secara masa nyata dengan integriti lebih tinggi.

MEXCOE dianggotai oleh menteri-menteri dan ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri yang memegang portfolio berkaitan alam sekitar dari seluruh negara, bersama pegawai kementerian, jabatan dan agensi berkaitan alam sekitar di peringkat Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri.

Menurut kenyataan NRES, MEXCOE memainkan peranan penting sebagai platform penyatuan visi dan usaha pelbagai pihak dalam menangani cabaran alam sekitar, selain memupuk dialog konstruktif, perkongsian idea dan penyelarasan strategi antara Kerajaan Persekutuan dan negeri.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan