Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

SPRM, PHEB Perkukuh Integriti Cegah Ketirisan Dana

07/10/2025 03:21 PM

PUTRAJAYA, 7 Okt (Bernama) – Lembaga Wakaf Hindu Negeri Pulau Pinang (PHEB) dengan kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menganjurkan program khas bagi memperkukuh kefahaman serta kesedaran antirasuah dalam kalangan ahli lembaga dan ahli jawatankuasa pengurusan kuil.

Program yang diadakan di Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) Ramakrishna, Georgetown, Pulau Pinang itu menekankan kepada aspek akauntabiliti, integriti dan kebertanggungjawaban dalam pengurusan serta penyaluran dana awam bagi mencegah ketirisan dan salah guna kuasa.

PHEB adalah salah satu badan berkanun yang menerima peruntukan tahunan sebanyak RM2 juta daripada Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Ad Banner
Ad Banner

Antara aktiviti dijalankan bersempena Majlis Pelantikan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Kuil-Kuil Baharu ialah sesi dialog bersama SPRM yang dihadiri oleh Pengarah SPRM Pulau Pinang, Datuk Karunanithy a/l Y. Subbiah, Ketua Cawangan Sosio Budaya dan Politik SPRM, Aini Awang Muda serta Pesuruhjaya PHEB, Kumaran Krisnan. 

Karunanithy dalam ucapannya menekankan bahawa AJK kuil diamanahkan untuk menjaga integriti, kepentingan dan imej kuil bagi memastikan pengurusan kuil lebih telus serta bebas rasuah.

 “Semua pihak perlu memahami risiko kesalahan rasuah serta salah guna kuasa yang mungkin berlaku dalam pentadbiran kuil dan seterusnya mengatasinya dengan berkesan.  

Ad Banner

 Usaha ini juga diambil susulan kes penyalahgunaan dana oleh mantan Pengerusi PHEB yang telah disiasat oleh SPRM baru-baru ini,” katanya dalam sesi dialog yang dihadiri kira-kira 50 AJK PHEB dan persatuan keagamaan kuil Pulau Pinang di sini, kelmarin. 

Sementara itu, K. Kumaran berkata, PHEB akan terus bekerjasama rapat dengan SPRM, Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan Kementerian Perpaduan Negara dalam memperkukuh pemantauan kewangan, memperkenalkan latihan berasaskan integriti serta meningkatkan kesedaran mengenai undang-undang antirasuah.

 PHEB turut komited memperkukuh tadbir urus dan ketelusan menerusi penambahbaikan kawalan dalaman, audit kewangan serta pelaksanaan program pendidikan antirasuah. 

PHEB telah melaksanakan audit menyeluruh bagi menilai semula proses kewangan dan pentadbiran lembaga sebagai langkah memastikan semua perbelanjaan dilaksanakan secara telus dan mematuhi peraturan semasa.

 Inisiatif ini mencerminkan kesungguhan PHEB memastikan setiap dana awam dimanfaatkan sepenuhnya demi kepentingan masyarakat Hindu di Pulau Pinang berlandaskan prinsip “Tadbir Urus Telus, Pengurusan Berintegriti dan Dana Tanpa Ketirisan.”

— BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan