Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Kerajaan Cadang Naikkan Cukai Vape Daripada 40 Sen Kepada RM4 Per Mililiter

07/10/2025 03:45 PM

KUALA LUMPUR, 7 Okt (Bernama) -- Kementerian Kesihatan (KKM) mencadangkan supaya kadar cukai ke atas cecair rokok elektronik atau vape dinaikkan sebanyak 10 kali ganda, daripada 40 sen kepada RM4 bagi setiap mililiter (ml).

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata cadangan itu telah dikemukakan kepada Kementerian Kewangan (MOF) bagi menyelaraskan kadar cukai produk vape dengan produk tembakau konvensional. 

“Cukai produk rokok bagi satu batang rokok bersamaan dengan 10 sedutan atau puff yang dihasilkan. Satu kotak rokok pula bersamaan dengan kira-kira 200 sedutan. Bagi produk vape, satu mililiter cecair dikenakan cukai bersamaan 100 sedutan, manakala dua mililiter bersamaan 200 sedutan.

Ad Banner
Ad Banner

“Kadar cukai yang dicadangkan ialah daripada 40 sen kepada RM4 bagi setiap mililiter, dan cadangan ini telah dikemukakan oleh KKM untuk pertimbangan MOF,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Wan Saiful Wan Jan (PN-Tasek Gelugor) yang ingin tahu sama ada KKM akan mencadangkan kenaikan cukai produk vape seperti produk tembakau, termasuk menerusi Belanjawan 2026, sebagai langkah segera sebelum pelaksanaan pengharaman penuh penggunaan vape.

Lukanisman berkata cadangan pengharaman sepenuhnya terhadap rokok elektronik di Malaysia dijangka dibentangkan kepada Jemaah Menteri pada tahun ini bagi mendapatkan persetujuan dasar untuk pelaksanaannya.

Ad Banner

“... kita akan mengemukakan satu memorandum Jemaah Menteri kepada Kabinet untuk mempertimbangkan pengharaman secara sepenuhnya dan mendapatkan dasar bagi memulakan tindakan pengharaman terhadap vape,” katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan Kapten (B) Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (PN-Tanjong Karang) yang ingin tahu sebab KKM sebagai agensi utama dalam menjaga kesihatan awam masih belum mengambil langkah tegas untuk mengharamkan penggunaan vape di peringkat nasional.

Lukanisman turut mendedahkan bahawa Analisis Kesan Peraturan (RIA) yang dijalankan KKM sebelum ini menganggarkan sebanyak RM244.8 juta telah dibelanjakan untuk merawat penyakit E-Cigarette or Vaping Product Use-Associated Lung Injury (Evali) yang berpunca daripada penggunaan vape.

Beliau berkata sekiranya perkara itu berterusan, kos rawatan penyakit itu boleh mencecah antara RM300 juta hingga RM400 juta menjelang 2030.

Menurutnya, langkah pengharaman sepenuhnya vape juga selaras dengan pendekatan beberapa negara ASEAN seperti Brunei, Singapura dan Laos yang telah melaksanakannya lebih awal.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan