Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

NHCCE 2025 Catat Lebihan RM1 Juta Untuk Dana Latihan Pekerja Gig - Steven Sim

06/10/2025 09:55 PM

KUALA LUMPUR, 6 Okt (Bernama) -- Persidangan dan Pameran Modal Insan Kebangsaan (NHCCE) 2025 mencatat lebihan kira-kira RM1 juta tahun ini, berbanding RM500,000 pada 2024.

Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong berkata keseluruhan lebihan itu akan disalurkan bagi menyediakan latihan kepada pekerja gig, selaras dengan komitmen kerajaan untuk meningkatkan kemahiran serta melindungi golongan berkenaan di bawah Akta Pekerja Gig yang baharu diluluskan.

Beliau berkata Malaysia menyasarkan untuk mencapai 35 peratus tenaga kerja berkemahiran menjelang 2030, dan sering dinyatakan bahawa negara memerlukan puluhan ribu jurutera serta juruteknik.

Ad Banner
Ad Banner

“Namun, menurut satu kajian pada 2022, sebanyak 47.16 peratus penunggang e-hailing yang melaporkan kerja gig sebagai sumber pendapatan utama mereka memiliki kelulusan sama ada SPM atau diploma. Golongan ini berpotensi untuk mengisi peranan berkemahiran kritikal dalam pasaran kerja, namun atas pelbagai sebab, mereka tidak berbuat demikian.

“Kerja gig mungkin memberikan pendapatan segera tetapi kelulusan dan latihan mereka tidak dimanfaatkan sepenuhnya, dan mereka terlepas peluang untuk membina kerjaya jangka panjang. Ini bukan sahaja satu kerugian kepada individu, malah juga kepada aspirasi negara untuk membina ekonomi berpendapatan tinggi, berasaskan pertumbuhan pesat, berteknologi tinggi dan bernilai tinggi,” katanya ketika berucap merasmikan NHCCE hari ini.

Sim berkata HRD Corp diberi tanggungjawab oleh Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) untuk memastikan pekerja gig diberikan peluang latihan berkualiti bagi menyokong pembangunan kerjaya mereka.

Ad Banner

Beliau berkata bagi memastikan peluang itu sampai kepada individu yang tepat, HRD Corp akan bekerjasama dengan persatuan yang mewakili pekerja gig serta syarikat platform bagi menghubungkan mereka secara langsung dengan program latihan berkenaan.

Sim turut menonjolkan pencapaian HRD Corp sepanjang tiga tahun lepas, dengan menyatakan bahawa daripada jumlah kutipan levi sebanyak RM6.17 bilion sejak 2023, sebanyak RM5.77 bilion atau 94 peratus dibelanjakan untuk melatih kira-kira empat juta pekerja di seluruh negara.

“Daripada jumlah itu, kira-kira RM25 juta dibelanjakan untuk kursus berkaitan kemahiran kecerdasan buatan (AI) dan teknologi maklumat (IT) melibatkan lebih 20,000 pekerja yang telah dilatih. Walaupun jumlah ini besar, kami sedar ia masih belum mencukupi.

“HRD Corp dan KESUMA akan terus menggandakan usaha untuk menyediakan lebih banyak program latihan, termasuk kursus percuma bagi membantu rakyat Malaysia menyesuaikan diri dengan pasaran kerja yang digerakkan oleh teknologi AI,” tambahnya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan