Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Malaysia Hargai Sumbangan Rakyat Pakistan, Berhasrat Perkukuh Hubungan Dua Hala

06/10/2025 03:36 PM

PUTRAJAYA, 6 Okt (Bernama) -- Malaysia menghargai sumbangan golongan profesional, pekerja dan pelajar dari Pakistan di negara ini yang membantu mengukuhkan hubungan antara kedua-dua negara, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam sidang media bersama selepas mengadakan mesyuarat dua hala dengan Perdana Menteri Pakistan Muhammad Shehbaz Sharif di sini hari ini, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan turut menghargai kehadiran rakyat Pakistan yang bekerja dan menuntut di Malaysia.

“Kita akan memberi keutamaan kepada mereka untuk terus tinggal dan menyumbang di sini,” katanya.

Ad Banner
Ad Banner

Anwar berkata Malaysia dan Pakistan menjalin hubungan rapat sejak kemerdekaan Malaysia pada 1957, dengan kerjasama merangkumi bidang pendidikan, kebudayaan, pertahanan dan ekonomi.

Beliau berkata kedua-dua negara turut berhasrat meneroka bidang kerjasama baharu termasuk pertahanan, pertanian, ekonomi digital, tenaga dan teknologi, seperti sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM), teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), inovasi, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), elektrik dan elektronik (E&E) serta semikonduktor.

“Harapan bersama kita ialah untuk memperkukuh lagi kerjasama dalam semua bidang. Kita kini berada dalam era ketidaktentuan geopolitik, justeru pertahanan, pertanian, ekonomi digital, tenaga dan teknologi baharu merupakan bidang yang boleh diterokai dengan lebih mendalam,” katanya.

Ad Banner

Anwar dan Shehbaz turut bertukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa termasuk usaha keamanan di rantau India-Pakistan serta kerjasama dalam memerangi keganasan.

Anwar berkata dengan kestabilan politik yang telah dipulihkan di Malaysia, kerajaan kini bersedia memperkukuh kerjasama dengan Pakistan secara lebih berkesan pada masa hadapan.

Semasa lawatan itu, Malaysia dan Pakistan menandatangani beberapa memorandum persefahaman (MoU) serta pertukaran Nota meliputi pelbagai bidang kerjasama termasuk latihan diplomat, pendidikan tinggi, pelancongan, pensijilan halal, pencegahan rasuah dan pembangunan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Terdahulu, Shehbaz yang dalam lawatan rasmi tiga hari ke Malaysia, diberikan sambutan rasmi di Kompleks Perdana Putra.

Lawatan Shehbaz ke Malaysia adalah atas jemputan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan merupakan kunjungan balas kepada lawatan rasmi Anwar ke Pakistan pada Oktober 2024, mencerminkan hubungan dua hala yang semakin kukuh.

Sejak hubungan dua hala kedua-dua negara ditingkatkan ke tahap Rakan Strategik pada Mac 2019, Malaysia dan Pakistan yang menjalin hubungan diplomatik sejak 1957, merekodkan jumlah perdagangan sebanyak RM8.07 bilon (USD1.76 biion) pada 2024, meningkat 25.5 peratus berbanding tahun sebelumnya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan